KUALA LUMPUR – Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan dipersoalkan apakah nilai yang hendak ditanam dalam kalangan pelajar dan mahasiswa negara pada hari ini.
Apakah sikap biadap, tidak menghormati majlis, tidak sopan adalah nilai yang ingin dibina pada pelajar dan mahasiswa? soal Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Menurut beliau, kebebasan bersuara dan berdemonstrasi memang dibenarkan oleh undang-undang negara, lantaran itu rakyat diberikan hak untuk melakukannya.
Lagipun, ianya sesuai dengan amalan demokrasi dalam negara ini.
Bagaimanapun, sebagai rakyat ia bukan bermakna kita boleh melakukan apa saja apatah lagi melanggar undang-undang yang ada.
Undang-undang mesti dihormati serta dipatuhi, katanya yang mengulas mengenai isu seorang graduan yang melakukan protes semasa majlis konvokesyen baru-baru ini.
Graduan berkenaan, Wong Yan Ke telah menunjukkan plakad tertera ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ susulan tidak puas hati dengan kenyataan Dr Abdul Rahim Hashim semasa memberi ucapan di Kongres Maruah Melayu.
Susulan tindakan graduan itu, UM telah bertindak menahan ijazahnya tetapi dalam kenyataan dua hari lalu.
Tindakan UM itu telah mencetuskan desakan daripada kalangan pemimpin DAP, selain Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dua hari lalu, universiti berkenaan mengeluarkan kenyataan membenarkan Yan Ke mengambil sijilnya.
Shamsul berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak bijak menyelesaikan isu ini kerana nampaknya kepentingan politik didahulukan.
“Kalau ini berterusan institusi pendidikan negara akan terus dihina,” ujarnya. – MalaysiaGazette