OSLO – Seorang lelaki bersenjata yang melarikan sebuah ambulan di Oslo mencederakan tiga orang, termasuk dua bayi, apabila beliau merempuh sebuah keluarga, kata polis Norway dan kakitangan hospital kepada Reuters.

Lelaki itu ditahan selepas polis melepaskan tembakan pada kenderaan tersebut dan suspek tidak mengalami kecederaan serius, kata polis dalam kenyataan berasingan.

“Dua orang bayi cedera selepas perampas ambulan melanggar sebuah keluarga. Mereka adalah kembar, berusia tujuh bulan, mereka kini dirawat,” kata jurucakap hospital Oslo University kepada Reuters.

Rangkaian televisyen NRK menunjukkan gambar sebuah ambulan dipandu di kejiranan Torshov, Oslo ketika beberapa das tembakan dilepaskan.

Jurucakap hospital itu berkata, dua buah ambulan terlibat dalam kejadian tersebut.

“Salah sebuah (ambulan) dilarikan oleh seorang lelaki yang bersenjata senapang patah. Beberapa minit kemudian salah sebuah ambulan kami berjaya menghentikan kenderaan yang dirampas itu dengan melanggarnya. Polis datang selepas kemalangan dan menangkapnya,” katanya.

Polis enggan mengulas sama ada insiden tersebut adalah serangan terancang.

“Seorang lelaki bersenjata telah mencuri sebuah ambulan, memandunya dan melanggar beberapa orang. Kini kami telah menahannya,” kata jurucakap polis. – MalaysiaGazette