Datuk Seri Azmin Ali. foto AFFAN FAUZI 22, OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Malaysia Aviation Group Berhad telah mempelawa seramai 20 pelabur yang berpotensi untuk menjadi rakan strategik Malaysia Airlines Berhad (MAS).

Melalui proses itu, Khazanah dan MAGB telah menyenarai pendekkan empat pelabur strategik untuk dinilai dengan ketat dan teliti.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penekanan diberi kepada cadangan yang mengambilkira kehematan kewangan dan sinergi kepada operasi MAS.

“Walau bagaimanapun, di bawah Non Disclosure Agreement (Perjanjian Bukan Pendedahan) kerajaan tidak dapat memberikan dan mendedahkan maklumat yang lebih terperinci mengenai pelabur-pelabur strategik yang sedang melalui proses ini,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Alexander Nanta Linggi (GPS- Kapit) hari ini.

Alexander bertanya apakah benar khabar negara Jepun berhasrat mengambil alih MAS. Kalau benar, jelaskan kaedah yang telah dipakai untuk mereka membuat tawaran dan bagaimana tawaran itu telah diproses dan keputusan dibuat.

Mohamed Azmin menambah, pada ketika ini, MAS sedang berusaha untuk memantapkan operasi dan pengurusan dalaman.

Ia termasuk melalui usaha-usaha penjimatan kos operasi, penambahbaikan perkhidmatan dan memperkukuhkan Perjanjian Perkongsian Kod dan perjanjian usaha sama dengan syarikat penerbangan lain supaya MAS terus berdaya saing bagi menghadapi cabaran-cabaran industri penerbangan masa hadapan.

“Keputusan yang bakal dibuat berkaitan masa depan MAS untuk memastikan MAS mempunyai rakan kongsi strategik yang terbaik dan dapat memperkukuhkan MAS untuk jangka masa panjang,” ujarnya.

Kumpulan MAGB, syarikat induk kepada MAS telah mengalami kerugian selepas cukai sebanyak RM1.2 bilion (2015), RM799 juta (2016) dan RM1.2 bilion (2017).

Keadaan itu memberi kesan langsung kepada Khazanah, selaku pemegang saham tunggal MAS.

Bagi tahun kewangan 2018, daripada jumlah RM7.3 bilion rosot nilai yang terpaksa Khazanah lakukan ke atas aset-aset yang dilaburkan dan tidak memberikan pulangan yang baik, RM3.1 bilion telah diperuntukkan untuk MAGB.

“Kerajaan sedar akan kepentingan serta sumbangan MAS dan kakitangannya kepada negara. Ini termasuklah penjenamaan Malaysia yang telah memberi manfaat ekonomi menerusi perdagangan, pelancongan serta penyediaan pekerjaan dan peluang perniagaan kepada rakyat.

“Namun, kerajaan perlu menilai semula model perniagaan MAS secara lebih holistik supaya MAS dapat keluar daripada kemelut yang sedang dihadapinya serta bangkit sebagai sebuah syarikat penerbangan yang berprestasi tinggi dan mampan,” kata Mohamed Azmin. – MalaysiaGazette