Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan dan Strategi (IPS) Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menolak kemungkinan pendakwaan terhadap bekas Timbalan Presidennya, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa hari iniĀ  akan memberikan kesan kepada parti.

Malah beliau berkata, status Nasharudin yang masih ahli Pas turut tidak akan menggugat Pas kerana beliau sudah tidak memegang apa-apa jawatan.

“Ustaz Nasha hanya ahli biasa dan bukan lagi pimpinan parti. Beliau tidak lagi bersama arus perdana parti sejak 2012.

“Sebarang isu yang terpalit dengan beliau tidak ada penglibatan parti di situ. Itu hak dia dan kita yakin dan serahkan kepada keadilan dan mahkamah untuk menentukan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di lobi Parlimen.

Khairuddin diminta mengulas mengenai Nasharudin yang berhadapan sebanyak 33 pertuduhan menerima rasuah dengan jumlah keseluruhan RM4 juta.

Berdasarkan pertuduhan 1 hingga 3, Nasharudin pada 9 November, 14 November dan 20 Disember 2018 melibatkan diri secara tidak langsung dalam aktiviti pengubahan wang haram mendepositkan RM302,069.60 peruntukan dari Kementerian Kewangan kepada Global Movements of Moderates (GMFF).

Ketiga-tiga pertuduhan di bawah Akta Pengubahan Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) itu, jika didapati bersalah penjara tidak melebihi 15 tahun, denda tidak kurang 5 kali ganda nilai aktiviti haram.

Manakala 30 pertuduhan lagi di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Nasharudin sebagai Pengerusi Yayasan Nassar antara 8 Januari 2015 hingga 8 Ogos 2018 melakukan pecah amanah terhadap harta tersebut berjumlah RM3.7 juta.

Nasharudin bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua dakwaan terhadapnya.

Jika didapati bersalah atas tuduhan itu, boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun, sebatan dan denda. -MalaysiaGazette