Timbalan Pengarah KDNKA (Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan KDNKA Bukit Aman, DCP Datuk Mastor Mohd Ariff bercakap pada sidang media Operasi Bersepadu Khazanah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK

KUALA LUMPUR – Polis menahan 10 pemburu haram termasuk tujuh daripadanya warga Kemboja selain merampas barangan bernilai hampir RM1 juta dalam empat operasi bersepadu Khazanah baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Keselamatan dalam Negeri dan Kententeraman Awam, Deputi Komisioner Datuk Mastor Mohd. Ariff berkata, tiga individu lagi yang ditahan merupakan warga tempatan.

“Nilai keseluruhan rampasan hasil empat operasi berkenaan adalah dianggarkan hampir sejuta ringgit atau lebih tepat RM908,000 dan kesemua suspek berusia antara 30 hingga 50 tahun telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Mastor, kesemua mereka ditangkap kerana menceroboh hutan simpanan dan melakukan jenayah melibatkan hidupan liar.

Kesemua suspek dicekup oleh Pasukan Gerakan Am bersama Angota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam operasi berasingan pada 10, 11, 16 dan 20 Oktober lalu.

Operasi melibatkan seramai 106 anggota Perhilitan dan 143 pegawai dan anggota Batalion 3 PGA Bidor dan Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu

Operasi pertama pada 1.42 pagi di Felcra Sungai Temau, Kuala Lipis di mana seorang lelaki warga tempatan ditahan dan pihaknya merampas kulit harimau, sisik tenggiling, duri landak dan siong hidupan liar.

Dalam operasi kedua sekitar 6.10 pagi di Kamoung Padang Kunyit, Gerik, Perak pula dua lelaki warga tempatan pula dicekup dan serbuan di atas sebuah premis berjaya merampas lima ekor  burung pelbagai spesies, bulu burung kuang dan kayu gaharu seberat 25 kilogram.

“Dalam operasi ketiga jam 8.30 pagi PGA dan Perhilitan dengan bantuan Persatuan Konservasi Hidupan Liar (WCS) menyerbu khemas transit warga asing di dalam kawasan hutan di Taman Negara, Endau Rompin sebelum seorang warga negara Kemboja disyaki pemburu haram ditangkap serta merampas 162 jerat nylon, sekilogram kayu gaharu, empat bahagian daging babi salai, lima bilah kapak/parang dan satu alat mengambil kayu gaharu.

“Operasi keempat pihak berkuasa melibatkan serbuan ke atas khemah transit warga asing di Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu jam 7.40 malam berjaya membawa kepada penangkapan enam lagi pemburu haram warga Kemboja dengan tujuh set alat pencuci gaharu, satu gading gajah, empat helai bulu kuang raya, 12 bilah kapak, dua unit rantai taring dan tanduk hidupan liar dan satu cengkerang kura-kura,” katanya.

Menurut Mastor lagi, ratusan pasang jerangkap samar menjadi masalah besar kepada pihak penguatkuasaan  dalam mencegah pemburuan haram hidupan liar.

“Mereka (pemburu haram) datang untuk tujuan mendapatkan kayu gaharu di dalam hutan kita sebelum memasang ratusan jerangkap samar berbentuk dawai untuk memburu bintang dan spesies liar yang ditinggalkan kian lama.

“Itu menyebabkan hidupan liar terancam seperti gajah, harimau yang seekor bernilai RM500,000 di pasar terbuka diburu haram oleh pemburu warga asing yang menceroboh di sini dengan bebas dan berani.

“Mereka sebenarnya dulu selalu masuk melalui sempadan negara secara dokumen sah dan ada juga haram tetapi kini mereka selepas masuk di sempadan dengan pasport bertempoh tiga bulan sebelum dibantu seseorang diturunkan di tebing hutan menurunkan di tepi lebuh raya sebelum mereka menceroboh masuk ke dalam hutan dengan mudah dan sukar dikesan pergerakan sehingga bebas memburu binatang,” katanya.

Menurutnya suspek mengumpul kesemua kayu gaharu yang diperoleh dan membawanya ke Johor sebelum diseludup ke sempadan Thailand untuk dibawa keluar dari negara ini.

Dalam kes melibatkan kematian seekor gajah Pygmy Borneo yang disyaki dibunuh, katanya, polis menagih bantuan dan maklumat orang ramai termasuk Orang Asli.

“Siasatan bedah siasat awal mendapati tiada kesan tembak dan peluru pada bangkai gajah yang boleh diklasifikasikan sebagai ditembak setakat ini.

“Kami merayu rakyat dan penduduk kawasan Beluran salurkan maklumat siapa pelaku bunuh gajah dan kehilangan gading yang merupakan satu kesalahan serius mengikut undang-undang yang membawa kepada denda jutaan ringgit dan penjara 18 bulan jika bersalah,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast