Marzuki Yahya

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan desas desus bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian turut disenarai sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Menurut Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya, langkah itu didakwa adalah gesaan akar umbi agar beliau disenaraikan sebagai calon.

“Setakat ini nama dia ada tersenarai tapi kita belum buat keputusan. Ada cadangan daripada pihak akar umbi yang mencadangkan nama beliau,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini ada ura-ura bahawa Osman akan dicalonkan mewakili PH bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Satu poster tersebar di media sosial, Isnin lalu mendakwa Jentera Pilihan Raya PPBM Negeri Johor menyokong Osman sebagai calon PRK.

Dalam pada itu, Marzuki juga mengesahkan Menteri Besar Johor sekarang Datuk Dr. Sahruddin Jamal juga disenaraipendek sebagai calon.

“Nama Menteri Besar yang sedia ada (juga turut disenaraikan),” katanya lagi.

Buat masa ini PH mahupun BN belum lagi mengumumkan nama calon bagi PRK Parlimen Tanjung Piai yang akan diadakan 16 November depan.

PKR Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 September lepas, akibat mengalami komplikasi jantung. -MalaysiaGazette