Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Saravanan (tengah) bergambar kenangan bersama pelajar-pelajar yang menerima bantuan pendidikan pada Majlis Penyerahan Cek Pendidikan 2019 MIED di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 23 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – MIC menerusi Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) masih berupaya untuk terus membiayai pengajian pelajar India walaupun Barisan Nasional (BN) tidak lagi menjadi kerajaan memerintah.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M.Saravanan yang juga Ahli Lembaga institusi berkenaan berkata, kedudukan semasa MIED sebagai entiti yang bebas dari sebarang pinjaman atau hutang akan membolehkan bantuan kos pengajian dilakukan dalam bentuk pinjaman serta biasiswa.

Malah katanya, rekod sifar hutang MIED akan melicinkan proses penawaran bantuan pengajian kepada jumlah penerima yang lebih ramai pada tahun ini dan pada masa akan datang.

“Tahun ini sahaja pinjaman dan biasiswa pengajian tinggi berjumlah RM3.242 juta telah disediakan kepada seramai 305 penerima yang diluluskan berdasarkan latar belakang sosioekonomi, rekod pinjaman lampau (jika ada), tempoh pengajian serta status kelayakan PTPTN.

“Walaupun MIC bukan lagi kerajaan dan kini berstatus pembangkang tetapi sumbangan kami menyokong pengajian anak masyrakat India akan diteruskan tanpa kurang melalui MIED yang disalurkan tanpa masalah sejak 1986 lagi.

“Lagipun ada juga suara ahli MIC yang mahu hanya anak anak India yang ibu bapanya menganggotai MIC sahaja ditawarkan biasiswa atau pinjaman pendidikan, tetapi MIC komited dan memilih untuk membantu tanpa mengira ideologi masyrakat India dalam politik,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian pinjaman dan biasiswa MIED di ibu negara.

Beliau mewakili pengerusi MIED yang juga Presiden parti, Tan Sri S.A. Vikneswaran menyerahkan cek bantuan kewangan itu.

Saravanan berkata, bantuan pembiayaan pengajian yang disalurkan MIED kepada maysrakat India bukan daripada kerajaan tetapi daripada sebahagian yuran keahlian tahunan dan pemegang taruh MIC sejak 34 tahun lalu.

Katanya, sepanjang tiga dekad, MIC berjaya mengeluarkan RM150 juta dan melahirkan 44,000 graduan dalam pelbagai bidang profesional antaranya perubatan, perundangan, farmasi, pergigian, dan kejuruteraan.

Tambah beliau, pelaburan dalam pendidikan akan menyuburkan masyarakat India untuk tujuh genarasi akan datang.

Beliau mengakui MIC terpaksa menjelaskan kebenaran kepada masyrakat India yang selama ini berada di alam maya kononnya segala pembiayaan pengajian yang disalurkan MIC datang daripada kerajaan.

“Ada majoriti besar masyarakat India selama ini tanpa mengetahui perkara ini menghentam dan mempersoalkan sumbangan kami selama 62 tahun lalu dan menganggap kami MIED ambil wang kerajaan untuk membantu pendidikan dan merungut tidak bersifat terbuka dalam pemberian.

“Itu tidak benar, sekarang kami terpaksa mendedahkan perkara sebenar sumber dana berkenaan dalam membiayai pendidikan.

“Jika benar andaian mereka dana kerajaan digunakan sepenuhnya untuk membiayai pendidikan, sudah pasti kerajaan tidak mampu meneruskan kesinambungan itu kerana kami bukan lagi kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette