Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik hadir pada Majlis Pelancaran Kesatuan Pelajar UIAM di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 23 OKTOBER 2019.

GOMBAK – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) belum lagi menerima writ saman daripada lima individu yang memfailkan saman terhadap agensi itu dan Pakatan Harapan (PH) atas dakwaan melanggar janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memberitahu, PTPTN akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi sebaik sahaja menerima writ tersebut.

“Saya sudah hubungi PTPTN, setakat ini mereka belum menerima sebarang writ saman.

“Selepas mereka menerima writ, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di UIAM di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan lima individu memfailkan saman hari semalam terhadap PTPTN.

Plaintif terbabit, Andy Putra Haris, 28; Farah Athirah Kamarozaman, 28; Mohamad Asrol Md Jailan, 27; Mohamad Muzakkir Mohamad Ali, 27 dan Mohammad Awad Sobri, 34 turut menuntut penangguhan pembayaran balik pinjaman itu.

Saman secara dalam talian oleh Tetuan Adnan Sharida & Associates itu menamakan PTPTN sebagai defendan pertama, PH selaku defendan kedua dan kerajaan sebagai defendan ketiga.

Peguam Adnan Seman, yang mewakili kelima-lima plaintif berkata, saman berkenaan merujuk kepada janji manifesto calon PH pada PRU-14 yang tidak dilaksanakan dalam tempoh 100 hari seperti mana dijanjikan.

Menurutnya, antara janji manifesto itu ialah penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang bergaji kurang RM4,000 sebulan.

Plaintif mendakwa janji defendan kedua (PH) yang terkandung dalam Buku Harapan (manifesto) adalah kontrak yang mengikat plaintif serta masyarakat untuk mengundi PH pada PRU-14.

Dalam writ saman itu, plaintif turut menuntut satu pengisytiharan bahawa janji pilihan raya dan manifesto adalah satu kontrak yang mengikat parti politik jika memenangi PRU-14.

Plaintif turut memohon perintah supaya defendan diarah menangguhkan pembayaran balik PTPTN semua peminjam yang bergaji kurang RM4,000 sebulan selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi pengajaran, kos dan lain-lain relif. – MalaysiaGazette