KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) telah menyenarai pendek calon-calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai termasuk bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.
Ditanya sama ada Barisan Nasional (BN) juga sudah ada calon untuk PRK yang akan diadakan pada 16 November itu, Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan nada berseloroh berkata, mungkin bayangan akan diberikan dalam solat istikharah terakhir beliau.
“Pengumuman calon pastinya akan saya buat sebelum 2 November.
“Terpulang kepada saya. Selepas pertimbangan itu dilakukan dengan cukup teliti dan seimbang antara parti komponen. Bayangannya selepas istikharah terakhir saya lakukan,” katanya kepaada media di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya mengesahkan nama Osman turut disenarai sebagai calon bersama Menteri Besar sedia ada, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Menurut Marzuki, keputusan itu berikutan gesaan akar umbi agar nama terserbut disenaraikan sebagai calon.
Untuk rekod, sebarang keputusan untuk menamakan calon bagi PRK kawasan itu belum dimuktamadkan oleh kedua-dua parti.
Bagaimanapun, semalam parti Gerakan mengesahkan bakal memilih calon muda untuk PRK Tanjung Piai. -MalaysiaGazette