Normah Mohamed

TANJUNG PIAI – “Saya mohon agar pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Mahathir Mohamad dapat membuat pilihan yang tepat dalam menentukan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bulan depan.”

Itu harapan Ketua Srikandi Bahagian Tanjung Piai,  Normah Mohamed, 65, ketika ditemui wartawan MalaysiaGazette di kediamannya di Tanjung Piai malam tadi.

Normah yang juga ibu kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, ahli Parlimen Tanjung Piai yang meninggal dunia pada 21 September lalu yakin kemenangan akan memihak kepada Pakatan Harapan (PH) jika calonnya tepat.

“Saya masih bersedih dengan pemergian anak saya tetapi pada masa sama, saya turut risau memikirkan siapa yang bakal mengisi kekosongan kerusi parlimen yang ditinggalkan kerana arwah seorang yang sangat komited dalam menjaga segala kebajikan rakyat di sini.

“Saya akui arwah tidak banyak pengalaman dalam politik tetapi saya sentiasa membantu dan bersamanya ketika bertemu dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Arwah sangat cepat belajar hal-hal berkaitan politik dan rakyat kerana saya sentiasa memberi bimbingan dan sokongan kepadanya melalui pengalaman saya dalam dunia politik selama lebih 40 tahun,” katanya.

Normah atau lebih mesra dipanggil Mak Ne sebelum menyertai Bersatu merupakan Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjung Piai selain memegang beberapa jawatan penting dalam NGO.

Pengalaman yang bukan calang-calang  dimilikinya dicurahkan sepenuhnya kepada arwah dan yang paling ditekankan adalah menjauhi sifat sombong dan sentiasa mrndengar permasalahan rakyat.

“Sejak arwah meninggal, saya masih teruskan kerja-kerjanya selagi termampu dan ramai yang saya temui memberitahu betapa arwah seorang yang sangat prihatin dan dekat dengan rakyat.

‘Memang yang hilang akan berganti tetapi ciri-ciri yang ada dalam diri arwah perlu ada dalam diri penggantinya.

“Arwah seorang yang sangat telus dah jujur dalam kerja yang diamanahkan.  Kalau arwah tak ada di kawasan , saya akan memastikan kerja yang ditinggalkan berjalan seperti yang telah disusun,” jelasnya tegas.

Kerinduan terhadap anak kesayangannya itu tidak dapat disembunyikan apabila sesekali gugur juga air matanya ketika bercerita.

“Saya bersama arwah hingga pukul 3.30 pagi dibiliknya berbincang tentang tugasan terhadap rakyat. Apabila saya masuk tidur, saya tak tahu apa berlaku tetapi lebih kurang pukul 5 pagi dia dihantar ke hospital kerana sakit dada.

“Itulah hari terakhir saya bersama dia dan pemergiannya amat mengejutkan walaupun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” ujarnya lagi.

Berbalik kepada calon PRK nanti, Normah berharap agar calon itu nanti adalah calon yang diterima rakyat.

“Saya yakin kerusi parlimen di Tanjung Piai dapat dikekalkan sekiranya calon yang dipilih nanti dikenali dan disenani rakyat,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Md Farid  pada 21 September lalu akibat  komplikasi jantung.

Allahyarham merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

MalaysiaGazzette difahamkan tiga nama telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti oleh ketua bahagian Bersatu, Karmaine Sardini untuk dipilih sebagai calon PRK Tanjung Piai pada 16 Novembet nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Pada khemad dan pandangan serta cadangan biarlah Karmaine Sardini atau Kak Nee sahaja kerana beliau yang faham akan situasi pengundi di sana, kalau Osman Sapian telah diselubungi olih isu tak jujur dalam perjawatan seperti sijil palsu dan ianya tak faham silok belok penyokong dan pengundi di sana. Pandangan ikhlas dari bekas ketua cawangan UMNO Pt Semerah dan bekas ahli PAS yang keciwa dengan UMPAS.

Comments are closed.