KUCHING – Kerajaan Negeri Sarawak akan terus mengadakan perbincangan dengan pihak MASwings mengenai kenaikan harga tambang penerbangan syarikat itu ke atas warga asing untuk ke tanah tinggi Bario dan kawasan peranginan Mulu mulai 1 November depan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah meminta syarikat penerbangan itu tidak terburu-buru menaikkan tambang sehingga tiga kali ganda tanpa mengira kesannya kepada industri pelancongan di dua kawasan pelancongan luar bandar Sarawak itu.

“Ini akan menjejaskan industri pelancongan, ini akan menjejaskan industri inap desa dan memberikan kesan kepada semua usaha yang telah kami lakukan. Lagipun tahun hadapan adalah Tahun Melawat Malaysia (2020),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Informasi Pelawat di bawah Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) yang siap dilaksanakan pengubahsuaian di Old Court House, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan Rurum Kelabit, Dr Philip Raja seperti dilapor media tempatan bahawa komuniti di Bario terutama pengusaha inap desa tidak gembira dengan pengumuman kenaikan tambang itu.

Menurut laporan akhbar berkenaan, ketika ini harga tiket dikenakan kepada warga asing bagi penerbangan sehala MASwings Miri-Bario hanya RM118 seorang dan harga tiket penerbangan pergi balik Miri-Bario yang baharu akan mencecah RM1,037.

Manakala harga tiket penerbangan baharu itu bagi Miri-Marudi ( RM738), Miri-Lawas (RM922) dan Miri-Labuan (RM908) serta Kuching-Mulu (RM1,386). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast