KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan memberi amaran kepada ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liew Tian Khiew agar tidak mencampuri urusan PKR.

Naib Ketuanya, Mohd Nazree Mohd Yunus menegaskan, Ronnie perlu menutup mulutnya dan jangan cuba melaga-lagakan pemimpin PKR dan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

“Angkatan Muda KEADILAN dengan tegas ingin mengingatkan supaya YB Ronnie Liew supaya tidak sama sekali mencampuri urusan dalam KEADILAN.

“Angkatan Muda KEADILAN meminta kepimpinan DAP supaya segera mendisiplinkan YB Ronnie Liew sebelum keadaan bertambah buruk sehingga menjejaskan kestabilan PH dan Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Liew yang mempersoalkan PKR yang masih tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas secara terbuka menolak konsensus PH mengenai penyerahan jawatan Perdana Menteri.

Ia susulan Liew bakal dihadapkan ke jawatankuasa disiplin DAP susulan kenyataannya pada Selasa lalu mengatakan bahawa PH masih mempunyai kerusi Parlimen yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan tanpa kehadiran PPBM.

Ronnie turut memberi amaran kepada Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak membuat keputusan yang bertentangan dan tidak sehaluan dengan pendirian PH.

Menurut Ronnie, DAP, PKR, Amanah, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) sudah mempunyai majoriti kerusi tanpa PPBM.

Mohd Nazree juga berkata, kenyataan terbaru Ronnie yang cuba mengheret Mohamed Azmin untuk diambil tindakan adalah pandangan yang sengaja untuk mengeruhkan keadaan dan bersifat parasit dalam PH.

“Sebaiknya YB Ronnie berhenti menjadi parasit dalam politik yang boleh melumpuhkan kesepakatan dalam kalangan pimpinan PH.

“Saya cukup yakin bahawa sikap bodoh sombong YB Ronnie Liew sebelum ini juga mampu menggugat muafakat utuh PH sebagaimana yang telah mengakibatkan perpecahan kepada Barisan Alternatif & Pakatan Rakyat sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette