MUTAKHIR ini wacana berkait arah tuju dan haluan ke muka dunia kewartawanan semakin semarak dibincangkan. Banyak akhbar terkemuka sama ada sudah menutup operasi atau beralih kepada akhbar dalam talian (on-line).

Ini semua mewabak semenjak meletusnya revolusi internet yang membuka ruang kepada perkembangan dunia teknologi maklumat. Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) mengalih perhatian menyeluruh terhadap pengunaan teknologi maklumat, robotik, artificial intelligence (AI) dan big data.

Akhbar seperti Utusan Malaysia mula terbit pada tahun 1939 menutup tirai penerbitan, manakala akhbar the Malay Mail selepas beroperasi kira-kira 122 tahun dan the Nation (Bangkok) beralih kepada akhbar dalam talian. Begitu juga akhbar Tamil Nesan menutup operasi selepas 94 tahun terbit dalam edisi bercetak.

Sudah pasti tiada akhbar bercetak baharu yang bakal diterbitkan lagi kerana risiko perniagaan yang tinggi, pupusnya generasi pembaca akhbar bercetak dan berkembang pesat maklumat dalam talian yang mudah dilayari.

Landskap dunia pemberitaan, kewartawanan dan percetakan kini sudah berubah kepada dunia maya. Generasi baharu milenials sudah ketagihan candu media baharu, manakala generasi lama sudah semakin menguncup bilangannya dan terpaksa ikut serta menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.

Pengaruh media baharu merentas sempadan negara, budaya, bangsa, agama dan ideologi. Hanya segelintir negara yang berfahaman totalitarian atau ala fasisme cuba menutup akses rakyat kepada ledakan maklumat tetapi perubahan ini tidak boleh disekat, lama-kelamaan badai tsunami akan meruntuhkan tembok penghalang itu.

Peralihan pantas ledakan media baharu turut memberi kesan kepada bidang komunikasi dan media massa di peringkat pengajian tinggi. Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang menawarkan pengajian di bidang komunikasi dan media pasti sahaja menerima impak perubahan.

Persoalannya, masih relevankah silibus dan kurikulum pengajian media, komunikasi atau kewartawanan yang diajar sama ada di peringkat diploma atau ijazah pertama. Manakala teori-teori komunikasi, kewartawanan dan pengajian media masih dilihat relevan sebagai asas pembinaan korpus ilmu, pendedahan pelajar-pelajar kepada teknik, kemahiran dan nilai tambah yang merujuk kepada penguasaan media baharu, media sosial, dan teknologi digital amat mendesak sekali.

Pelajar-pelajar harus sahaja dibekali dengan kemahiran, pengetahuan secara hands-on di samping bijak melakukan antisipasi, membaca arah atau trend dunia komunikasi, pengajian media dan kewartawanan untuk kira-kira lima hingga 10 tahun mendatang.

Forum Media Kebangsaan Keenam di Universiti Taylor’s, Subang Jaya baru-baru ini bertemakan “Industry 4.0: Journalism Across Multiple Platform” bertumpu kepada cabaran dunia kewartawanan dalam era digital, cabaran Artificial Intelligence serta meluasnya pengaruh kewartawanan warga (citizen journalism) yang mencetuskan gelombang baharu dunia maklumat dalam talian dan maklumat di hujung jari.

Pesan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar seperti yang dilapor akhbar The Star menegaskan strategi dan model perniagaan akibat peralihan corak periklanan harus berubah bagi menepati keperluan kekinian. Persoalannya, apakah model dan strategi perniagaan yang sesuai dalam era media baharu ini?

Kedua, anjurannya agar silibus dan kanduangan pengajian media segera disemak kerana senggang masa 10 hingga 20 tahun lalu jelas menunjukkan perubahan drastik dunia kewartawanan, media dan komunikasi. Saranan ini wajar dan bertepatan. Percayalah jika pengajian media tidak berubah, bidang ini akan ketinggalan, tidak digemari generasi milenials, dan mungkin sahaja pupus dari landskap dunia pengajian tinggi.

Persoalan yang lebih rencam, apakah masa depan kerjaya pelajar-pelajar bidang komunikasi, pengajian  media dan kewartawanan? Sementara dunia percetakan tidak lagi mampu menyerap tenaga kerja baharu, media dalam talian belum lagi sepenuhnya teruji kemampanan model perniagaannya.

Bagaimana bidang-bidang seperti rekabentuk, animasi, perikalanan, dan fotografi yang turut diajar sebagai pakej bergabung di dalam pengajian komunikasi. Ini sudah pasti nilai tambah berguna yang mengukuhkan kefahaman dan kemahiran teknikal kepada pelajar-pelajar.

Menjawab pertanyaan berakhirkah riwayat dunia kewartawanan, penulis percaya tiada yang kekal di dunia maya ini. Jika kita terus membuat akomodasi dan pengubahsuaian, bidang komunikasi dan kewartawanan tetap sahaja relevan. Ini menuntut pendidik dan pengamal media seluruhnya melakukan muhasabah ilmu dan menggembleng kepakaran untuk menjawab cabaran IR 4.0. Jika kita tidak berubah, pasti sahaja kita akan tinggal di dalam muzium sejarah!

(Mohd. Shah Abdullah kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Komunikasi dan Pensyarah Kanan, Manipal International University, Nilai. Beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan di Kumpulan Karangkraf, BERNAMA dan Berita Harian antara tahun 1988-1998). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast