Anggota peronda daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu sebelum itu sedang melakukan rondaan di Kedai Lalat sebelum terserempak dengan kenderaan dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.

SEREMBAN – Polis menahan 27 orang termasuk tentera dan tiga pelajar sekolah dalam Ops Tapis yang dijalankan di sebuah apartmen, di Jalan Pantai Telok Kemang, Port Dickson, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 4 pagi itu, polis menemui dadah pelbagai jenis seberat 7.26 gram.

“Berdasarkan pemeriksaan badan terhadap kesemua mereka yang ditahan ini berusia lingkungan 16 hingga 23 tahun iaitu 20 lelaki dan tujuh wanita yang berada di dalam apartmen tersebut, tidak menemui apa-apa barang salah.

“Seterusnya pemeriksaan di dalam apartmen tersebut telah menemui satu paket plastik lutsinar di atas lantai dengan di dalam berisi 15 biji disyaki pil estacy anggaran berat 5.71 gram dan sepeket lutsinar berisi bahan disyaki dadah ketamin, anggaran seberat 0.55 gram,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, ketika serbuan itu, polis turut menjumpai dua tiub kaca di atas meja yang mengandungi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat satu gram.

“Pihak polis telah rampas kesemua barang kes yang dijumpai dan menangkap kesemua suspek untuk tindakan lanjut. Hasil saringan awal urin mendapati 15 daripada mereka positif dadah. Tiga daripada keseluruhan tangkapan juga mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39(A)(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama