Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) didakwa hilang taring apabila gagal bersikap adil dan tidak bertegas dalam perkara yang yang ditentang sebelum ini.

Sebelum pilihan raya umum lalu, Bersih 2.0 bermati-matian menggesa kerajaan terdahulu dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk bersikap adil ketika kempen pilihan raya kecil atau pilihan raya umum, termasuklah tidak menggunakan jentera kerajaan dan wang kerajaan untuk meraih undi.

Malangnya, keadaan berubah 180 darjah apabila Pakatan Harapan memegang tampuk pemerintahan negara.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, untuk melihat PRK yang bersih hanyalah sekadar mimpi indah kerana ia secara jelas merupakan satu retorik politik Pakatan Harapan.

Ini kerana, jawapan PH adalah segala yang terjadi adalah kebetulan di Tanjung Piai.

Kebetulan yang pertama terjadi pada 13 Oktober 2019 apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengumumkan peruntukan khas RM 3 juta diberikan bagi tujuan kerja menaik taraf dan membina sebuah dewan di Kukup, Tanjung Piai.

Yang kedua terjadi pada 15 Oktober 2019 apabila Menteri Pembangunan Luar
bandar, Datuk Seri Rina Harun mengumumkan pemasangan sebanyak 264 lampu jalan di jajaran jalan raya luar bandar di Tanjung Piai dengan peruntukan sebanyak RM 127,776.

Kebetulan yang ketiga pula terjadi pada 19 Oktober 2019 apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq mengumumkan peruntukan persekutuan sebanyak RM 4 juta untuk menaik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai.

“Menariknya, Syed Saddiq turut pernah menabur janji di Semenyih ketika PRK Semenyih sambil membonceng basikal meronda pekan Semenyih, namun janji tinggal janji di Semenyih apabila Pakatan Harapan tewas dalam PRK tersebut.

“Diharapkan janji di Tanjung Piai tidak dilupakan sekiranya Pakatan Harapan tewas,” katanya di sini.

Shahir berkata, kebetulan yang keempat pula terjadi apabila Menteri Pertanian, Salahuddin Ayub mengumumkan peruntukan sebanyak RM 3 juta untuk menaik taraf tiga jeti nelayan dalam Parlimen Tanjung Piai.

Persoalannya, bagaimanakah pula dengan jeti-jeti nelayan di Pantai Timur yang makin usang, seperti di Kelantan dan Terengganu? Adakah peruntukan hanya akan diberikan apabila berlaku PRK di negeri-negeri Pantai Timur tersebut?

“Persoalannya, di manakah suara SPR dan Bersih ketika ini? Suara Bersih juga seakan-akan bisu dan hilang taringnya,” soalnya.

Kebetulan yang kelima pula terjadi apabila Menteri Industri Utama, Teresa Kok
“bersembang santai” bersama penduduk Tanjung Piai sambil memberikan sebotol minyak sawit “Harvist Premium Extra Red Palm Fruit Oil” kepada para hadirin.

Persoalannya, kata Shahir, adakah SPR dan Bersih menghalalkan perbuatan sebegini kerana hal ini dilakukan oleh Pakatan Harapan, bukannya Barisan Nasional.

“Keadaan ini jelas menunjukkan retorik politik Pakatan Harapan yang mengabaikan janji politik matang dan demokrasi bersih di negara ini.

“Kalau dahulu, pemberian dipanggil dedak, kini pemberian dipanggil “sumbangan kebetulan,” ujarnya.

Menurutnya, kempen PRK hanya bakal bermula pada awal November, namun sehingga kini kerajaan Pakatan Harapan sudah menjanjikan sebanyak RM 10.5 juta kepada penduduk Tanjung Piai.

Katanya, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menjangkakan ramai lagi Menteri akan turun berkempen secara “kebetulan” dan menjanjikan projek jutaan ringgit dengan alasan “perbincangan telah dibuat dengan mantan Ahli Parlimen Tanjung Piai” demi melunaskan janji kepada Ahli Parlimen terdahulu.

Sedangkan, menurut beliau, Kerajaan Pakatan Harapan seharusnya bersikap telus dan tidak terikut-ikut dengan rentak kerajaan terdahulu.

Sehubungan itu, katanya, DPIM menyeru rakyat terus ingat dan jangan lupa akan susah payah yang kita terpaksa tempuhi ini sehingga PRU-15 dek kecelaruan yang ditimbulkan oleh Pimpinan Pakatan Harapan.

Pada waktu itu, rakyat boleh menghukum kealpaan pimpinan Pakatan Harapan yang leka dengan kerakusan politik mereka hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast