Md Fauzi Tamaji (kanan) berjabat dengan Karmaine Sardini selepas pengumuman calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk PRK Tanjung Piai diumumkan di di Dewan Hai Kee, Pontian, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kapten Md Fauzi Md Tamaji yang disebut-sebut antara calon yang bertanding di Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai langsung tidak kecewa apabila beliau bukan pilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebaliknya, Juruterbang Kanan AirAsia Berhad itu berikrar akan terus membantu calon Bersatu, Karmaine Sardini dan memastikan kemenangannya.

Menurut Fauzi, calon PRK Tanjung Piai itu bukan calang-calang orangnya kerana pernah menjadi calon kerusi Parlimen Pontian pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan Ketua Bahagian Tanjung Piai.

Karmaine juga memiliki kelebihan di peringkat akar umbi.

“Tidak ada istilah kecewa dan tidak perlu kecewa kerana saya akan terus membantu Bersatu. Kita akan sama-sama membantu Haji Karmaine,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada calon Bersatu itu.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Fauzi berkata,  berbanding menjadi calon untuk PRK ini, fokus beliau adalah lebih menjurus kepada memperkukuhkan Bersatu di Johor.

“Itu adalah strategi jangka panjang kerana selepas ini Bersatu ada cabaran yang lebih besar untuk Pilihan Raya Umum Ke-15,” ujarnya.

Karmaine yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Tanjung Piai, diumumkan calon Pakatan Harapan bagi PRK Tanjung Piai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast