HSBC Group mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2021 sebanyak 6.7 peratus.

LONDON – HSBC merancang untuk menyusun semula perniagaan selepas prestasinya di bahagian Eropah dan Amerika Syarikat tidak memuaskan.

Ketua Pegawai Eksekutif Interim, Noel Quinn berkata, perancangan untuk memperbaiki bahagian-bahagian ini “tidak lagi mencukupi” dan perlu dipercepatkan dengan merombaknya.

Awal bulan ini, HSBC yang memiliki 238,000 orang kakitangan dilaporkan mahu mengurangkan sehingga 10,000 orang.

Quinn berkata, terdapat “skop” untuk pengurangan.

“Terdapat skop di seluruh bank untuk menjelas dan mempermudahkan peranan dan mengurangkan pertindihan,” katanya kepada Reuters.

Bagaimanapun, Quinn tidak memberikan butiran lanjut mengenai pemotongan pekerja-pekerjanya.

Quinn mengambil alih sebagai ketua eksekutif bertindak HSBC pada bulan Ogos berikutan peletakan jawatan mengejut John Flint.

Kenyataan itu dibuat selepas bank itu melaporkan keuntungan suku ketiga yang lebih buruk daripada jangkaan.

Keuntungan sebelum cukai susut 18% kepada AS$4.8 bilion bagi suku ketiga dan memberi amaran persekitaran akan datang mencabar.

HSBC sedang mengkaji ketidaktentuan daripada Brexit dan perang perdagangan Amerika Syarikat-China, selain protes di Hong Kong.

Namun, prestasi bank ini di Asia masih baik. – MalaysiaGazette