Peguam, Krithi Raj Raja Sundram bercakap kepada media selepas anak guamnya yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK 29 OKTOBER 2019

SEPANG -Peguam Krithi Raj Raja Sundram akan mengemukakan permohonan ikat jamin ke Mahkamah Tinggi berhubung masalah kesihatan anak guamnya yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Menurut Krithi Raj, memandangkan kes Sosma masih dalam Mahkamah Rayuan, tahanan di bawah akta itu yang mempunyai masalah kesihatan perlu diberikan ikat jamin.

“Seseorang tidak boleh ditahan, dia tidak bersalah selagi tidak terbukti bersalah, itu undang-undang sekarang.

“Kes Sosma, dalam Mahkamah Rayuan, jaminan perlu dibenarkan dan kita akan gunakan alasan itu untuk memohon jaminan dan kita akan failkan permohonan itu dalam masa terdekat.

“Keputusan Mahkamah Rayuan mereka memberikan jaminan atas asas masalah kesihatan.

“Kita akan gunakan alasan sama dan jika ada alasan lain, kita akan gunakannya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Sepang, di sini, hari ini.

Terdahulu, seorang guru sekolah menengah hari ini dituduh di Mahkamah Sesyen di sini selepas dipercayai terbabit dengan aktiviti kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Saiful Akmal Mohd Said mengikut Seksyen 130JB (1)(A) Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, Sundram Renggan@Regasamy, 52, pada 12 Oktober 2019, jam 2.30 petang di No. 21, Jalan 6, Taman Telok, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor telah memiliki item-item yang berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Dalam pada itu, Krithi Raj melahirkan rasa kesal apabila anak guamnya akan dikenakan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Khamis ini di bawah seksyen yang sama pada saat akhir.

“Untuk kes ini (Mahkamah Sesyen Sepang), kerana memiliki dokumen (buku dan barangan) berkaitan dengan LTTE.

“Bagi pertuduhan kedua pula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, mengikut Seksyen 130JB (1)(A) kerana memuat naik kenyataan di Facebook mempromosikan LTTE.

“Saya baru dimaklumkan oleh timbalan pendakwa raya bahawa anak guam saya akan didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Khamis ini,” katanya.

Beliau mengesahkan bahawa anak guamnya, 52, selepas ini akan dibawa ke Penjara Sungai Buloh untuk ditahan di bawah Akta Sosma.

“Anak guam saya akan ditahan semula di Penjara Sungai Buloh selepas ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette