Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Perjumpaan antara Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 30 OKTOBER 2019

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dasar pengambilan warga asing sebagai pengawal keselamatan tidak akan kekal selama-lamanya.

Justeru menurutnya, industri perkhidmatan kawalan keselamatan perlu berusaha bagi menarik minat lebih ramai tenaga kerja tempatan untuk bekerja dalam sektor ini.

Ujar beliau, antara inisiatif yang  boleh dilakukan oleh pemain industri adalah penawaran pakej latihan, saraan dan imej profesyen kawalan keselamatan yang lebih menarik.

“Berhubung dasar pengambilan warga asing untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan yang pada masa ini dihadkan kepada warga Nepal sahaja, saya ingin mengingatkan bahawa dasar ini hanyalah bersifat sementara.

“Industri perkhidmatan kawalan keselamatan tidak seharusnya bergantung kepada pekerja asing buat selama-lamanya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan antara Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan dan Agensi Persendirian Bersempena Dengan Taklimat Pembaharuan Lesen Agensi Persendirian Bagi Tahun 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Turut hadir pada majlis adalah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Alwi Ibrahim dan Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia, Datuk Sri Ramli Yussuf.

Ujar Muhyiddin, penggunaan teknologi terkini dalam industri itu juga merupakan salah satu inisiatif yang boleh dilakukan dalam menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada warga tempatan.

“Secara tidak langsung, penggunaan teknologi terkini juga akan menyediakan peluang-peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada warga tempatan, sekaligus menyumbang kepada matlamat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat seperti yang terkandung dalam Wawasan Kemakmuran Bersama yang merupakan dasar teras kerajaan,” tambahnya.

Tambah Muhyiddin, selari dengan cabaran semasa iaitu ancaman keganasan dan jenayah rentas sempadan dan keselamatan awam yang dihadapi negara, perkhidmatan kawalan keselamatan swasta perlu memainkan peranan bekerjasama dengan pasukan keselamatan.

“Statistik jenayah yang melibatkan jenayah kekerasan dan harta benda secara keseluruhan adalah menurun, namun ini tidak bererti usaha-usaha memelihara keselamatan dan ketenteraman awam boleh dipandang ringan, justeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa meningkatkan usaha untuk memastikan keselamatan terjamin,” katanya.

Terdahulu Muhyiddin berkata, jumlah keseluruhan nilai kontrak yang melibatkan kawalan keselamatan mencecah RM18.9 bilion pada tahun lalu.

Dalam masa yang sama pendapatan yang dikutip kerajaan melalui cukai syarikat-syarikat berkaitan adalah sebanyak RM2.7 bilion selain berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada 130,000 rakyat temptan di pelbagai peringkat seperti pengurusan, eksekutif, pengkeranian dan pengawal keselamatan.

Selain itu, sebanyak 62 lesen syarikat kawalan keselamatan  dibatalkan sejak 2013 kerana pelbagai kesalahan.

Sehubungan itu Muhyiddin memberi amaran agar pemilik syarikat [engawal keselamatan memastikan tidak melanggar undang-undang.

“Syarikat-syarikat kawalan keselamatan hendaklah sentiasa mematuhi undang-undang dan mengelakkan daripada melakukan sebarang kesalahan yang serius seperti menggunakan warga asing secara haram,” ujarnya. – MalaysiaGazette