Antara alat ganti yang dihasilkan di kilang IQM.

KUALA LUMPUR – Perodua memusatkan pengeluaran alat ganti untuk model terdahulunya dengan pelancaran sebuah mesin press stamping baharu di premis pembekalnya IQM Sdn Bhd, di Tanjung Malim.

Langkah ini merupakan salah satu inisiatif Perodua bersama dengan para pembekalnya untuk mengembangkan perniagaan dan keupayaan mereka ke arah menjadi pembekal automotif bertaraf dunia.

Perodua melaburkan RM7 juta bagi mesin tersebut, termasuk pengangkutan dan pemasangannya di IQM.

Mesin stamping hidraulik 1,600-tan metrik itu akan menghasilkan
komponen badan kenderaan seperti penutup enjin, panel luar sisi, panel suku belakang, fender, pintu dan bumbung untuk model Perodua terdahulu seperti Myvi generasi pertama, Viva, Kelisa dan juga Kancil.

Perodua juga telah memindahkan semua acuan stamping (dies) yang diperlukan untuk menghasilkan alat ganti model terdahulu ke IQM bagi membebaskan ruang di dalam kilang Perodua,  selain meringkaskan proses keseluruhan, menjimatkan kos dan masa, serta memudahkan pemantauan dan pengurusan di bawah satu bumbung.

“Perodua membuat keputusan untuk memusatkan pengeluaran alat ganti model terdahulu di IQM berdasarkan empat teras. Satu, kami ingin terus menyokong para pemilik model-model
terdahulu kami dengan alat ganti yang berkualiti, pantas dan berpatutan menerusi perniagaan Badan & Cat kami.

“Selagi anda memiliki kenderaan Perodua – biar lama
mahupun baharu – sentiasa di sisi anda akan kami berada.

“Dua, kami komited untuk membangunkan semua 135 pembekal kami di Malaysia, bukan sahaja melalui perniagaan kami dengan mereka tetapi menerusi perkongsian kemahiran dan teknologi. Tiga, langkah ini mewakili komitmen kami kepada negara dan ekonominya dengan peningkatan daya saing ekosistem automotif Malaysia.

“Akhirnya, ia mewakili komitmen Perodua untuk terus meningkatkan kualiti dan kecekapannya ke arah menjadi sebuah syarikat yang lebih baik, maju dan mampan,” kata
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Sejak 1994, Perodua telah menjual lebih 3.7 juta kenderaan di Malaysia. Kini, lebih kurang satu pertiga daripada keseluruhan permintaan untuk alat ganti Perodua adalah untuk model-
model terdahulu.

Dengan kandungan tempatan melebihi 90% bagi seluruh barisan modelnya, Perodua merupakan pembeli komponen automotif terbesar di Malaysia, membelanjakan RM4.5 bilion setakat tahun ini daripada RM5.4 bilion yang diperuntukkan untuk keseluruhan 2019.

IQM menjadi pembekal Perodua sejak 2002 dan kini membekalkan komponen stamping logam, pemasangan badan dan tiub brek kepada Perodua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast