KUALA LUMPUR – Media Prima Berhad (Media Prima) akan melaksanakan transformasi perniagaan yang merangkumi perubahan model perniagaan dan pengstrukturan semula dalaman.

Menurut kenyataan Media Prima, ia akan membolehkan Kumpulan itu lebih berdaya saing dan mampan pada masa depan berikutan
suasana makro ekonomi yang tidak menentu dan gangguan perubahan lanskap media global.

“Kumpulan akan memastikan kesemua warga kerja yang terjejas ekoran daripada usaha transformasi ini menerima pakej pampasan yang adil dan saksama yang ditetapkan oleh undang-undang serta kesatuan masing-masing yang akan dibayar secara penuh selepas mereka menunaikan segala keperluan perundangan,” kata kenyataan itu.

Media Prima berkata, Kumpulan itu juga akan menyediakan khidmat sokongan kepada warga kerja termasuk perkhidmatan penempatan keluar (outplacement) dan kaunseling kerjaya.

Tambahnya, pelaksanaan penstrukturan ini dijangka selesai pada suku pertama, 2020.

Menurut kenyataan itu, landskap media global terus berubah dengan kadar dan skala yang pantas menyebabkan syarikat-syarikat media mengkaji semula serta mengubah model perniagaannya untuk kekal mampan dan berjaya.

Melangkah ke hadapan, katanya, Media Prima yang sinonim dengan jenama-jenama mediaakan terus memberi fokus dalam membawa nilai kepada para warga kerja, pelanggan, pemegang saham dan pihak berkepentingannya. – MalaysiaGazette