Ketua Pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar (dua kiri) bersama Ketua Pasukan JDT Haris Harun (dua kanan) memegang Piala Malaysia 2019 sambil disaksikan oleh Ketua Jurulatih Johor Darul Takzim (JDT) Benjamin Mora (kanan) dan Ketua jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak (kiri) pada sidang media sempena Perlawanan Akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 02 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui skuad kendaliannya bukan menjadi pasukan pilihan berbanding Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 di Stadium Bukit Jalil, esok.

Pengendali kelahiran Singapura itu akur dengan kehebatan JDT yang lengkap daripada semua aspek, termasuk barisan pemain yang berkualiti.

Namun Aidil berkata, kelebihan bukan menjadi pasukan pilihan apabila Lang Merah dapat beraksi di bawah tekanan sekali gus tidak melakukan kesilapan mudah.

“Yang penting malam esok, pemain perlu siapkan minda dan memiliki kekuatan mental.

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak bercakap pada sidang media sempena Perlawanan Akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 02 NOVEMBER 2019.

“Nikmati keseronokan di atas padang namun mereka perlu beri yang terbaik kerana ia merupakan aksi final,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama pasukan Kedah dan sesi latihan terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini menjelang aksi final esok.

Aidil Sharin menambah, dia memang mengimpikan perlawaan akhir menentang JDT yang memiliki reputasi tinggi.

Jelasnya, menentang kelab gergasi itu, anak buahnya boleh menguji kekuatan mereka.

“Apa juga keputusan, saya tetap bangga dengan pemain saya.

“Dalam tempoh 10 bulan, mereka berjaya melangkah ke dua final pada musim ini.

“Ini baharu permulaan kerana mereka akan melalui perjalanan yang masih jauh terutamanya di kalangan pemain muda,” katanya.

Aidil Sharin kini melalui musim pertama yang cemerlang bersama Kedah apabila menjulang Piala FA selepas menewaskan Perak pada Julai lalu. – MalaysiaGazette