Eyra dan Haziq bertunang pada 1 Disember lalu sebelum bernikah semalam.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Eyra Hazali selamat diijabkabulkan dengan pasangan pilihannya iaitu penjaga gol skuad bola sepak bawah 23 tahun negara, Muhammad Haziq Nadzli di Masjid As-Syakirin KLCC, malam tadi.

Pelakon yang popular menerusi drama Mr Grey itu sah menjadi isteri Haziq dengan sekali lafaz selepas dinikahkan oleh bapanya, Hazali Ramli, disaksikan Pendaftar Bahagian Perkahwinan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdul Jamel Jaafar.

Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM3,001 bersama sembilan dulang hantaran berbalas 11.

Bagaimanapun, wang hantaran tidak didedahkan atas permintaan keluarga.

Eyra menggayakan persalinan hasil rekaannya sendiri dan dijahit oleh ibunya, Qhuzie Johari.

Majlis akad nikah itu dihadiri kira-kira 150 ahli keluarga dari kedua-dua belah keluarga.

Eyra dan Haziq bertunang pada 1 Disember lalu selepas setahun menjalin cinta. – MalaysiaGazette