Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Konvensyen Keadilan Wilayah Persekutuan ke 20 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Suara dua atau tiga pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh menjadi kayu pengukur kepada tahap sokongan akar umbi semua peringkat terhadapnya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Presiden PKR itu, setakat ini, beliau mempunyai sokongan hampir 90 peratus daripada akar umbi berdasarkan empat konvensyen negeri yang dihadirinya, baru-baru ini.

“Kalau tengok setakat empat konvensyen di Pulau Pinang, Johor dan Sabah, seluruh cabang hadir, sambutan sangat baik, cuma Kuala Lumpur, Ketua Cabang Bandar Tun Razak tidak hadir kerana pergi umrah.

“Bagi saya, 90 peratus malah ada yang 100 peratus hadir. Jadi tidak ada desas-desus kononnya ada masalah sedikit.

“Adalah di kalangan dua tiga orang tetapi dalam parti yang pentingnya jentera, bukan suara satu dua ketua,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya menyindir dua menteri daripada PKR yang berkaitan dengan ekonomi dan perumahan dipercayai merujuk kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga berkata apabila beliau menyebut semua menteri dan ahli Parlimen perlu beringat bahawa mereka bukan sesiapa jika akar umbi tidak mengangkat mereka.

“Ini peringatan kepada semua termasuk saya sendiri yang menjadi presiden kerana dokongan ahli-ahli.

“Dalam keadaan susah, ahli-ahli menyokong. Jadi bila saya pimpin saya kena fikir seluruh jentera dan ahli parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette