Calon Barisan Nasional, Datuk Dr.Wee Jack Seng diiringi Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir pada hari Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Pengundi-pengundi yang bakal menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk memilih calon wakil rakyat bagi Parlimen Tanjung Piai diminta agar tidak beremosi ketika menterjemahkan perasan mereka di kertas undi.

Sebaliknya, mereka perlu menilai dengan melihat secara rasional terhadap parti yang boleh membela masa depan mereka, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Malah katanya, pengundi-pengundi juga tidak harus “termakan” dengan umpan yang ditabur oleh parti politik yang pernah menjanjikan harapan namun, semuanya itu hanya sekadar janji yang tidak menguntungkan rakyat.

“Saya harap pengundi-pengundi di Tanjung Piai akan menggunakan hak mengikut Perlembagaan untuk keluar mengundi Pada 16 November nanti.

“Saya yakin semasa kempen 16 hari ini pengundi-pengundi akan didatangi banyak pihak yang akan meraih undi dan meyakinkan penduduk di sini supaya memberikan undi masing-masing kepada calon mereka.

“Saya minta pengundi-pengundi di Tanjung Piai menggunkan kebijaksanaan masing-masing. Jangan kita beremosi, kita mesti rasional dalam memilih wakil rakyat,” katanya ketika ditemui selepas proses Penamaan Calon PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.

Mohamad berkata, nasib pengundi-pengundi di kawasan Tanjung Piai akan ditentukan selepas pilihan raya berkenaan berakhir dan disebabkan itu mereka perlu bijak dalam membuat pilihan yang tepat.

Dalam pada itu, Mohamad menggesa semua pihak yang bertanding agar mengamalkan langkah berkempen dengan tidak menyerang calon lawan dengan taktik mendedah keburukan mereka.

“Sebab kempen ni kadang-kadang memburukkan orang. Kita ni jangan berkempen begitu dan saya harap pengundi di sini jangan beremosi sangat. Fikir tenang dan waras, 16 haribulan nanti kita keluar ramai-ramai,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.