Ramkarpal Singh
Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Ramkarpal Singh mendakwa Ketua Polis Negara bertindak bergopoh-gapah dan tidak matang dalam mengulas salah laku polis terhadap beberapa tahanan yang dikaitkan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Peguam yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mewakili tiga suspek dalam kes berkenaan mendakwa, tuduhan tersebut dibuat oleh tahanan-tahanan berkenaan di mahkamah pada Jumaat lalu.

Tan Sri Abdul Hamid Bador pula membuat kenyataan semalam selepas mendapat penjelasan daripada pegawai-pegawainya.

“Tidak mungkin tahanan-tahanan telah disoal siasat dan saya menggesa Hamid tunjukkan jika beliau sudah berbuat demikian.

“Sekiranya belum lagi, beliau tidak boleh menyatakan siasatan aduan itu telah selesaikan,’ katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hamid yang menyifatkan dakwaan berlaku salah laku polis terhadap tahanan kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah tidak berasas sama sekali dan tidak bertanggungjawab.

Katanya, jika benar pihak yang membuat tuduhan itu mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai perkara itu, mereka diminta membawanya semula ke mahkamah.

“Berkaitan dengan beberapa kenyataan serta tuduhan umum yang telah dibuat oleh peguam dan ahli politik tertentu terhadap perbuatan yang kononnya menyalahi undang-undang yang telah dilakukan oleh pegawai-pegawai polis ke atas tahanan kes LTTE, maka saya dengan tegasnya di sini membuat penafian.

Bagaimanapun, Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP itu mahu Abdul Hamid melakukan siasatan lengkap ke atas dakwaan tersebut.

“Dalam keadaan ini, diharapkan siasatan yang betul terhadap dakwaan tahanan LTTE diseksa, pada peringkat ini hanyalah kenyataan membabitkan para pegawai yang terlibat,” ujarnya.

Jumaat lalu, lima daripada 12 tertuduh yang didakwa menyokong LTTE mengadu dianiaya dan diseksa ketika berada dalam tahanan.

Salah satunya, tertuduh mendakwa dipaksa mengaku menjadi anggota LTTE dan diugut untuk dipenjarakan seumur hidup jika tidak mematuhi perintah polis.

Malah, ada tahanan memaklumkan dia asingkan dalam sel gelap. – MalaysiaGazette