Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka didagangkan secara berhati-hati berbanding dolar US minggu depan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Selasa depan, mesyuarat terakhirnya pada tahun ini.

Maybank Research dalam kenyataanya semalam berkata, pihaknya menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus.

Ini berdasarkan prospek pertumbuhan rasmi yang positif dan unjuran inflasi, Belanjawan 2020 yang menyokong pertumbuhan, pelonggaran syarat kewangan dan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin reda, katanya.

Penganalisis pasaran FXTM Han Tan bersetuju dengan Maybank Research mengenai ramalan OPR. Beliau berkata: “Walaupun Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) telah memberi isyarat jelas berhubung penangguhan penurunan kadar faedah pada masa ini, bank pusat global itu mungkin perlu melaksanakan lebih banyak langkah rangsangan sekiranya tekanan ekonomi berterusan pada tahun 2020.”

Beliau berkata, pasaran bagaimanapun, meramalkan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS mungkin perlu meneruskan dasar penurunan yang dilaksanakan pada Mac 2020, yang mungkin mewujudkan persekitaran lebih baik untuk dolar US buat sementara waktu.

Khamis lepas, Fed menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas untuk kali ketiga tahun ini dan memberi isyarat tidak akan melaksanakan penurunan selanjutnya kecuali unjuran ekonomi berubah dengan ketara. Penurunan itu selaras dengan jangkaan pasaran.

“Bagi kalendar domestik, angka perdagangan luar Malaysia bagi September akan ditentukan oleh ketegangan perdagangan global, berikutan pelabur sedang menunggu pemeteraian perjanjian perdagangan ‘’fasa pertama’’ AS-China.

“Selepas mencatatkan penguncupan mengejutkan pada Ogos, pertumbuhan eksport Malaysia dijangka kembali pulih pada September,” kata Tan kepada Bernama.

Strategis pasaran AxiCorp Asia Pasifik Stephen Innes berkata, ringgit mungkin didagangkan pada paras 4.15 hingga 4.18 berbanding dolar US minggu depan terutamanya disebabkan BNM dijangka membuat keputusan untuk mengekalkan kadar faedah.

Ringgit diniagakan lebih tinggi sepanjang minggu yang baru berakhir susulan dolar US yang terus semakin lemah.

Sementara itu, penyedia maklumat kritikal, analisis dan penyelesaian yang berpangkalan di Amerika Syarikat, IHS Markit Ltd pada Jumaat melaporkan asas aliran sektor pembuatan Malaysia kembali kukuh pada permulaan suku keempat, dengan indeks teras meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh enam bulan.

Indeks Pengurus Pembelian utama, petunjuk satu angka komposit bagi prestasi pembuatan, meningkat kepada 49.3 pada Oktober daripada 47.9 pada September, paras tertinggi dalam tempoh enam bulan dan diunjurkan adalah selaras dengan sejarah purata tertinggi yang pernah dicatatnya.

Ringgit mengakhiri urus niaga pada minggu dengan mencatatkan peningkatan ketara berbanding dolar US pada paras 4.1640/1670 berbanding 4.1845/1875 pada minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama pada Jumaat.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0649/0683 daripada 3.0692/0725 tetapi turun kepada 3.8538/8569 berbanding yen daripada 3.8506/8548 pada minggu sebelumnya.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.6420/6470 daripada 4.6502/6552 tetapi turun berbanding pound kepada 5.3915/3963 daripada 5.3716/3768 sebelumnya. – MalaysiaGazette