Pemain kebangsaan, Nor Azam Azih (tiga kiri) bersama skuad kebangsaan menjalani sesi latihan bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Padang Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK

PETALING JAYA – Pemain tengah kebangsaan, Nor Azam Azih yakin kehadiran dua pemain baharu, Afiq Fazail dan Baddrol Bakhtiar akan memberi impak besar kepada pasukan Harimau Malaya.

Impak itu diperlukan bagi menghadapi dua aksi Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand pada 14 November ini dan Indonesia pada 19 November ini.

Bintang Pahang itu percaya, kehadiran Afiq dan Baddrol amat dinantikan kerana watak utama dalam kelab Johor Darul Ta’zim dan Kedah telah beraksi cemerlang hingga beraksi di final Piala Malaysia 2019 pada Sabtu lalu.

“Kemunculan Afiq dan Baddrol diharap akan membantu Harimau kerana kemampuan mereka telah terbukti di pentas final Piala Malaysia.

“Justeru, gandingan pemain senior dan junior kali ini dapat memberikan impak lagi untuk berdepan tiga perlawanan termasuk perlawanan persahabatan,” katanya.

Pemain kebangsaan, Nor Azam Azih bercakap kepada media ketika sesi latihan bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Padang Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK.

Beliau ditemui pihak media selepas latihan pusat hari kedua Harimau Malaya di Wisma FAM di sini hari ini.

Nor Azam Azih digugurkan pada perlawanan menentang Sri Lanka dan Vietnam pada 5 dan 10 Oktober lalu kerana mengalami kecederaan buku lali kanan.

Ditanya mengenai prestasinya ketika ini, pemain berusia 24 tahun itu sudah bersedia dari segi fizikal dan mental dan ketika ini dia sedang memberi fokus untuk menambah kecergasaan.

Mengenai tekanan yang dihadapi, Nor Azam mengakui tidak lari daripada perasaan itu namun percaya bola sepak adalah permainan berpasukan.

“Ketika lawan Vietnam tempoh hari, permainan kita tidak teruk dan cuma pemain seolah-olah hilang keyakinan

“Saya harap dengan kehadiran beberapa pemain baharu akan membaiki permainan pasukan untuk mengutip mata penuh penuh menentang Thailand dan Indonesia nanti,” katanya.

Malaysia tewas 0-1 kepada Vietnam pada 10 Oktober lalu.

Selepas tiga perlawanan, Malaysia kini di kedudukan keempat dengan mengumpul tiga mata, sementara Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengungguli saingan kumpulan dengan enam mata.

Thailand dan Vietnam masing-masing berkongsi empat mata di kedudukan kedua dan ketiga selepas mengharungi dua perlawanan. – MalaysiaGazette