Setiausaha Agong NUJ, Chin Sung Chew .

KUALA LUMPUR – Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Semenanjung Malaysia mengutuk keputusan yang diambil oleh konglomerat media, Media Prima Bhd. yang merancang untuk membuang lebih 1,000 pekerja mereka menjelang suku pertama tahun depan.

NUJ dalam satu kenyataan di sini hari ini meminta syarikat pemilik akhbar New Strait Times; Berita Harian; Harian Metro serta empat saluran televisyen dan radio di samping papan iklan itu menyemak semula strategi berkenaan.

Berdasarkan maklumat sebelum ini, pembuangan pekerja itu akan melibatkan kakitangan editorial, jurugambar, pemasaran iklan, sokongan pemasaran, jualan iklan, jabatan penerbitan serta pengedaran dan jualan.

Keputusan tersebut dipercayai diambil susulan pengambilan alih Media Prima oleh Aurora Mulia Sdn. Bhd. milik taikun Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Setiausaha Agung NUJ, Chin Sung Chew dalam kenyataannya berkata, kesatuan sangat memahami dilema dan kesukaran yang dihadapi oleh syarikat-syarikat media ketika mengharungi kelembapan ekonomi.

Bagaimanapun, lembaga eksekutif yang menguruskan syarikat-syarikat media berkenaan perlu bertegas supaya tidak dijadikan kuda tunggangan parti politik.

“Kami juga ingin mengingatkan lembaga eksekutif yang menguruskan syarikat-syarikat atau kumpulan media supaya tidak bertolak-ansur dengan pengaruh politik yang mana idea mereka adalah untuk membunuh pengamal-pengamal media terutamanya para wartawan di atas alasan penstrukturan syarikat.

“Kami berharap tiada media di negara ini yang dikawal oleh ahli-ahli politik,” tegasnya.

Tambah Sung Chew, media seharusnya bebas daripada mana-mana parti politik sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Media seharusnya diberi ruang untuk memainkan peranannya untuk membuat laporan tanpa perlu takut atau menyebelahi kerajaan bagi membangunkan negara ini.

Bagi menjaga kebajikan para wartawan, NUJ meminta syarikat-syarikat media yang berhasrat mengurangkan kos operasi dengan membuang pekerja untuk mematuhi Akta Pekerjaan.

NUJ juga menggesa syarikat media untuk tidak membunuh penyampai maklumat.- MalaysiaGazette