Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digesa mewujudkan undang-undang khas untuk mengekang aktiviti pengubahsuaian basikal lajak yang berleluasa dilakukan oleh pemilik kedai basikal pada masa ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Azisman Alias berkata, premis terbabit sepatutnya dikenakan tindakan tegas kerana mereka antara pihak yang menyumbang kepada aktiviti basikal lajak.

“Saya harap pihak berkuasa berkaitan seperti JPJ atau MOT patut membuat draf atau kertas kerja kepada kerajaan kerana JSPT hanya boleh melakukan penguatkuasaan undang-undang.

“Pendapat kita, setakat ini aktiviti basikal lajak ini undang-undangnya agak terhad untuk diambil tindakan,” katanya pada sidang media harian di Bukit Aman hari ini.

Pada masa ini, hanya ibu bapa atau penjaga sahaja boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya wujud pengabaian terhadap keselamatan kanak-kanak di bawah umur.

Ibu bapa atau penjaga terbabit boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM2,000 dan penjara 5 tahun di bawah Seksyen 33, Akta Kanak-kanak.

Azisman juga berkata, ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang terlibat dengan aktiviti basikal lajak boleh diambil tindakan sekiranya mempunyai bukti atau keterangan kukuh berlaku pengabaian tersebut.

“Kalaulah untuk kita ambil tindakan terhadap ibu bapa, dia memerlukan betul-betul keterangan atau bahan bukti yang betul-betul menyokong

“Kalau kita lihat hukumannya agak berat, jadi saya rasa tidak semudah itu, macam mana nak menunjukkan bahawa anak dia dijaga.

“Setakat itu kita boleh buat menunjukkan pengabaian apatah lagi anak-anak itu mendapat cedera parah, kecacatan kekal dan mati,” katanya.

Pada 28 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Johor Bharu melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal dua tahun lalu.

Majistret Siti Hajar Ali, membebaskan Sam Ke Ting, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Ke Ting didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bharu secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada jam 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Dia didakwa menyebabkan kematian Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. – MalaysiaGazette