KUALA LUMPUR – Ringgit meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan berbanding dolar US berikutan rundingan perdagangan yang baik antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta sentimen risiko global yang positif selepas penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan AS.

Ringgit naik 0.46 peratus kepada 4.1560/1590 berbanding dolar US daripada 4.1640/1670 semasa ditutup pada Jumaat lepas — paras tertinggi sejak 2 Ogos.

Ahli Strategi Pasaran Axi Trader Asia Pasifik Stephen Innes berkata, ringgit turut menjejaki yuan China yang kukuh selepas Setiausaha Perdagangan AS Wilbur Ross mencadangkan lesen yang membolehkan syarikat AS menjual kepada Huawei “akan tiba tidak lama lagi”.

“Yuan menguji di bawah paras 7.03 pada minggu ini dan dijangka pada paras 7.00 dalam masa terdekat yang akan menetapkan ujian positif pada paras 4.15 untuk ringgit,” katanya kepada Bernama.

Dalam negara, katanya, Bank Negara Malaysia dijangka memutuskan untuk mengekalkan kadarnya yang dijangka positif kepada ringgit.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang akhir bagi tahun ini akan diadakan esok dengan ramai ahli ekonomi percaya bank pusat itu akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0617/0651 daripada 3.0649/0683 pada Jumaat dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.8396/8431 daripada 3.8538/8569.

Ringgit mengukuh berbanding pound British kepada 5.3750/3793 daripada 5.3915/3963 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6381/6431 daripada 4.6420/6470. – MalaysiaGazette