Azhar Azizan Harun.

PONTIAN – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 235 helai kertas undi pos semalam bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai kali ini.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pengeluaran kertas undi pos itu bermula pada jam 12 tengah hari dan dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Pontian meliputi kategori undi pos.

“Kertas undi dikeluarkan melibatkan lapan orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara yang terdiri daripada penjawat awam yang berkhidmat di luar negara dan pasangannya serta pelajar sepenuh masa di luar negara dan pasangannya.

“Seramai 225 orang pengundi yang terdiri daripada petugas pilihan raya dan pegawai SPR (Borang 1A); dan dua permohonan diterima bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dari Jepun dan United Kingdom manakala tiada kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan).

“Kesemua proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil-wakil calon daripada Pakatan Harapan, Gerakan, Berjasa dan calon bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azhar, SPR juga telah menjemput para pemerhati pilihan raya yang dilantik untuk menyaksikan proses pengeluaran kertas undi pos itu.

Menurutnya, pemerhati daripada TINDAK Malaysia, Institut Darul Ehsan (IDE), Pertubuhan Akademi Demokrasi dan Kewarganegaraan Malaysia (APDK) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) turut hadir semasa proses tersebut.

Justeru kata Azhar, proses pengeluaran kertas undi pos bagi PRK Parlimen Tanjung Piai berkenaan telah disiarkan secara live streaming di Facebook SPR bagi menunjukkan proses tersebut dilakukan secara telus dan adil.

“Selain daripada itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan lagi kefahaman masyarakat awam mengenai proses pilihan raya.

“Kesemua sampul keutamaan undi pos telah diserahkan kepada pihak Pos Malaysia pada hari yang sama untuk dihantar kepada pengundi-pengundi terbabit.

“SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos, hendaklah mengisi dengan lengkap dan betul serta segera mengembalikannya semula kepada Pegawai Pengurus PRK Parlimen Tanjung Piai sebelum jam 5.00 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 16 November 2019 (Sabtu),” tegasnya.

Azhar turut mengingatkan pengundi agar tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

“Sekiranya perbuatan ini dilakukan, tindakan undang-undang dan hukuman yang sewajarnya akan dikenakan jika didapati bersalah dan disabitkan,” jelas beliau.-MalaysiaGazette