Husam Musa

KUKUP – Ahli Dewan Negara Senator, Datuk Husam Musa merakamkanm takziah kepada dua parti gergasi Melayu UMNO dan Pas kerana ditewaskan MCA dalam perebutan kerusi Parlimen Tanjung Piai kali ini.

Katanya, tidak sampai dua bulan menjalin Permuafakatan Nasional yang memperjuangkan Melayu Islam tetapi gagal mendapatkan kerusi Tanjung Piai untuk diletakkan calon Melayu.

Beliau turut rasa terkilan bagaimana Pas boleh menyokong MCA yang masih berpendirian menentang menentang Rang Undang-Undang 355 Pas.

“Kalau benar calon BN dari MCA Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng masih berpendirian sama menolak RUU355, bagaimana Pas boleh menyokong calon itu sebelum dia menyatakan pendirian semasa dalam hal ini.

“Kalau dia (Jeck Seng) kata masih pendirian sama menentang secara terbuka RUU355, tanya Pas pula pendiriannya.

“Macam mana Pas boleh menerima calon (Jeck Seng) ini sebelum ada perakuan menyokong 355.

“Wartawan boleh tanya dia (calon MCA) esok ke lusa adakah dia terima sokong RUU355,” katanya pada Ceramah Kelompok Pusat Daerah Mengundi Penerok, Dewan Undangan Negeri Kukup, Tanjung Piai malam tadi.

Turut hadir ke ceramah Ahli Parlimen Pulai merangkap Timbalan Presiden Amanah Negara, Datuk Salahuddin Ayub dan Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat dan calon PH Karmaine Sardini.

Sebelum ini, RUU355 ditentang oleh MCA ketika dibentangkan oleh Presiden parti Islam itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang November 2017 di Dewan Rakyat semasa kerajaan Barisan Nasional.

Naib Presiden Parti Amanah Negara itu menjelaskan Pas dan UMNO boleh menyokong calon PH sebagai mengukuhkan kepimpinan Pakatan Harapan pada PRK kali ini sekiranya tidak dijawab MCA dan calonnya.

Justeru beliau juga secara berseloroh menjelaskan bahawa Permuafakatan Nasional yang terjalin antara UMNO Pas seolah tidak berkesan apabila usaha kedua dua parti itu untuk meletakkan calon Melayu tidak kesampaian kerana MCA dibenarkan bertanding di kerusi itu dan menyifatkan komponen MCA sebenarnya lebih kuat dan kebal dari kedua-dua parti blok pembangkang itu.

“Saya ucapkan tahniah kepada MCA dan salam takziah kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana ditundukkan oleh MCA.

“Tanjung Piai majoritinya pengundi Melayu, tiba tiba 2 parti Melayu iaitu Pas dan UMNO ditewaskan MCA.

“DAP tak pernah mendesak kerusi ini dari PH..yang kata DAP mengekang, dominan, menekan akhirnya terbalik dan yang tuntut MCA bukan DAP, maka UMNO sanggup jual maruah dan tunduk kepada MCA,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Mca tk terima lantak dia la. jgn kita ni yg islam menolak ruu 355 mentah2 maka tk ada beza la gn cina.baik dap baik mca..spesis yg sama.jgn kita melayu islam mengikut jejak mereka yg kafir..

Comments are closed.