Datuk Salahuddin Ayub. foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2019.

KUKUP – Kerajaan akan memastikan hak nelayan yang melibatkan lesen menangkap ikan, elaun sara hidup dan subsidi diesel tidak diambil kesempatan oleh pihak lain.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, beliau menyedari masalah untuk mendapatkan lesen menangkap ikan yang mengadu telah memohon sejak bertahun lamanya.

Katanya, permohonan lesen nelayan mempunyai kriteria ketat dan sepanjang memegang tanggungjawab, pihaknya cuba permudahkan permohonan lesen itu.

“Tapi tak bolehlah konsep permudahkan itu sewenang-wenangnya boleh mengaku mereka nelayan. Sebab nelayan ini ada kriteria dia. Dia mesti ke laut 120 hari, wajib merekodkan pembelian minyak dan kita beri mereka subsidi dan mereka perlu mendaratkan hasil tangkapan mereka.

“Kita semua ada rekod, jadi berdasarkan rekod itulah kita menjejaki. Kita boleh buktikan mereka ini benar-benar nelayan.

“Memang mudah untuk merekai cuba untuk mengambil kesempatan ini dan itu tidak boleh dibenarkan supaya jangan hak nelayan itu diambil oleh orang lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis Walkabout Pasar Pagi Serkat di sini.

Tambah beliau, terdapat kategori ‘nelayan sambilan’ yang telah disediakan pas khas untuk ke laut bagi mengelak menangkap ikan tanpa masalah bagi menambah pendapatan sampingan tetapi tidak layak menerima elaun sara hidup seperti nelayan tetap kerana tidak dikategorikan sebagai nelayan.

“Nelayan yang mematuhi kriteria mencukupi tempoh masa akan mendapat subsidi minta dan elaun sara hidup supaya tidak berlaku zalim menerusi pemutihan.

“Sekiranya ada pemutihan tapi mereka tertinggal, mereka masih lagi boleh buat permohonan dan kita akan teliti kerana ada yang tidak ke laut agak lama dan selepas dikaji faktanya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia akan keluarkan mereka dari senarai nelayan.

“Bila dengar keluhan mereka, saya terima masalah ada yang isteri menghidap kanser perlu dijaga sepenuh masa dan isteri meninggal dunia dan kes sebegini saya perhitungkan tanpa zalim untuk kembalikan pemberian subsidi dan elaun sara hidup mereka,” tegasnya.

Beliau ditanya mengenai tindakan nelayan kelas B dan C yang menceroboh dan menangkap ikan di kawasan nelayan kelas A di perairan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Salahuddin berkata, tindakan tegas sedang dikuatkuasakan kementerian dengan pihak berkuasa maritim.

“Saya telah membuat keputusan kesalahan kali kedua menceroboh kawasan A akan ditarik balik lesen nelayan itu dan akan diheret ke mahkamah demi menjaga sumber laut kita dan saya tidak akan bertolak ansur dalam hal ini.

“Kita sudah melancarkan Ops Naga yang masih beroperasi dan APMM diberi kuasa menangkap bubu-bubu naga dan pukat double troller yang memusnahkan sumber laut telah dirampas,” katanya.

Ditanya mengenai program yang ditinggalkan arwah Md Farid Md Farik yang masih perlu dilaksanakan, katanya, peruntukan penambahbaikan tiga jeti nelayan di Tanjung Piai dijangka dilaksanakan awal tahun 2020 selepas peruntukan yang diluluskan Kabinet sampai segera. – MalaysiaGazette