Menteri Besar Johor, DatUK Dr. Sahruddin Haji Jamal bercakap kepada media pada Ceramah Kelompok Pakatan Harapan (PH) sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di PDM Peradin, Kampung Belokok, Teluk Kerang, Johor. foto AFFAN FAUZI, 05 NOVEMBER 2019

KUKUP – Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal mempertahankan kenyataan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Karmaine Sardini.

Menurutnya, kenyataan harga kelapa sawit naik di bawah kerajaan sekarang berbanding kerajaan terdahulu seperti dinyatakan Karmaine itu benar.

Beliau berkata, harga kelapa sawit kini telah mencecah RM350 satu tan dan ia membantu rakyat serta pekebun sawit negeri itu.

“Dia (Karmaine) kata kita sepatutnya bersyukur sebab harga sawit bawah PH naik RM270 tetapi tahu tak harga sawit bulan lalu berapa? Satu tan RM350 sebulan.

“Di sini kita kena bersyukur kerana di bawah pemerintahan PH harga sawit naik kita semua kena peka maklum dan jangan menggelabah terutama bagi pemimpin pembangkang atau kerajaan kita kena struktur bahawa kerajaan buat terbaik untuk kesejahteraan masyarakat.

“Bagi pembangkang yang asyik spin isu sawit ingatlah syukur yang mana ayat al-Quran sebut juga supaya bersyukur akan ditambah nikmat.

“Kena ingat kita warisi kerajaan bobrok, kita warisi kerajaan yang banyak berhutang serta pembangkang yang ramai pemimpin kleptokrat tapi kita bekerja keras untuk memulihkannya,” katanya dalam sidang media di PDM Peradin, Kampung Belokok malam ini.

Beliau berharap rakyat mendapat penjelasan yang tepat termasuk pembangkang dan tidak lagi menjadikannya modal kempen sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai kali ini.- MalaysiaGazette