Calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Wee Jeck Seng berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Warung Nelayan Penerok Toben, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 05 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng menafikan beliau terlibat dalam pemberian tender secara rundingan langsung perlaksanaan sistem permit kemasukan kenderaan (VEP) bernilai hampir RM149.45 juta.

Beliau berkata, dakwaan itu jelas bermotif politik bagi menentang dirinya lebih-lebih lagi kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sekarang.

“Biasalah, perkara seperti ini akan jadi. Nak pilihan raya,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui selepas di Kampung Penerok malam ini.

Jeck Seng menjelaskan apa yang berlaku itu sama seperti terjadi semasa PRK Rantau di mana calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan didakwa terlibat dengan rasuah berhubung pembelian pangsapuri di luar negara.

“Setelah berakhirnya PRK Rantau, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudiannya membersihkan nama beliau dan pihak lawan pula tidak lagi membangkitkan isu tersebut.

“Ditegaskan bahawa dakwaan yang dibuat terhadap saya yang mengaitkan dengan projek VEP ini sebenarnya bukanlah perkara baharu malah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah pun membuat pendengaran sebanyak tiga kali sejak Mac tahun ini,” ujarnya.

Menurut Jeck Seng lagi, tuduhan yang disebarkan ketika ini adalah tidak berasas dan ianya telah dijelaskan dalam Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2017.

Ujarnya, tuduhan yang mengatakan kos operasi meningkat tinggi juga tidak tepat kerana ia sebenarnya berpuna oleh peningkatan dalam skop yang ketara termasuk lebih daripada dua kali ganda kapasiti dalam beberapa keperluan.

“Saya tidak sesekali terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana awam. Saya amat yakin PAC dan pihak polis pastinya akan membersihkan nama saya.

“Dalam masa sama, saya menggesa pihak lawan dalam PRK ini supaya berjuang dengan adil bersandarkan idea, dasar dan komitmen untuk rakyat.

“Semua pihak seharusnya menghentikan taktik kotor dan kembali kepada fokus utama iaitu berkhidmat untuk rakyat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette