Reaksi ceria Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 07 NOVEMBER 2019

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sebelum tiba Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), beliau sudah memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) agar menegur atau menolak pemimpin yang rasuah dan pencuri.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, nasihatnya itu tidak didengari malah ada pemimpin yang menegur ketua mereka telah dipecat seperti berlaku kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Katanya, sekarang selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran persekutuan, ada pemimpin BN cuba memberi nasihat kenapa tidak buat begini dan begitu.

“Sekarang parti lawan (BN) ini memberi nasihat kepada parti kerajaan PH. Soalnya, kenapa mereka tidak beri nasihat kepada pemimpin mereka dulu bila (pemimpin) curi duit.

“Mereka sokong.. sokong penyangak, pencuri. Sekarang ini kononnya nak tunjuk kepada kita bagaimana nak mentadbir,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di bangunan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Menurut Mahathir, yang juga Pengerusi PH, kekalahan yang menimpa BN kerana mereka tidak mahu mendengar teguran dari pihak yang lebih berpengalaman selain disebabkan kongkongan seorang diktator.

“Bukan macam diktator dulu (ketika beliau sebagai Perdana Menteri), diktator dulu baik,” katanya berseloroh.

Beliau menjelaskan, kekalahan utama BN selepas lebih 60 tahun berkuasa ialah kerana mengamalkan dasar cash is king merujuk pentdbiran Datuk Seri Najib Razak dahulu.

Beliau berkata, disebabkan dasar dan amalan itu, kerajaan BN menyaksikan kejatuhan secara tidak bermoral dan PH memperoleh kemenangan dengan majoriti yang tidak boleh dicabar. – MalaysiaGazette