Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal (tiga kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya , Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohd Solihan Badri (tengah) serta yang lain menyambut dan beramah mesra dengan sebahagian penumpang yang baru tiba dari Tanjung Balai Karimun Indonesia pada Majlis Pembukaan Semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup di Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 07 NOVEMBER 2019.

KUKUP – Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal menyangkal dakwaan beliau cuba merampas mikrofon dari Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Farhan Khairuddin semasa berceramah di atas trak pacuan empat roda petang semalam.

Dalam insiden di Pasar Lambak Ladang South Malaya Seri Menanti, Pekan Nanas itu Pengarah Pilihan Raya Kecil Pakatan Harapan Johor itu hanya meminta mikrofon daripada Farhan untuk berucap kepada orang ramai.

“Saya rasa saya biasa sahaja.. tidak ada pun saya menunjukkan muka bengang. Saya rampas (mikrofon) takda kan? Saya cuma minta izin kalau saya nak bercakap saya boleh bercakap tapi minta izin tak dapatlah. Saya pun pergi sana dan bersalam dengan mereka.

“Saya rasa, yang bengang adalah mereka,” katanya ketika ditanya pemberita di flag off pembukaan rasmi dan penerimaan penumpang pertama Feri di Terminal Antarabangsa Kukup dekat sini hari ini.

Beliau menjawab dakwaan Pengerusi Barisan Negeri Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang mendakwanya cuba merampas mikrofon dari Farhan semalam.

Justeru, Sahruddin menasihati Hasni supaya tidak cepat melatah tanpa menyiasat kesahihan sesuatu insiden terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Sebarang isu hendaklah kita selidik dulu kita kaji dan berfikiran positif.

“Sekarang tak baiklah kita memprovokasi ketika berkempen. Kita sekarang bangsa Johor kena bersatu apa-pun harapan kita selepas ini memastikan masyarkat dan rakyat lebih makmur dan maju,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MB Johor ‘panas telinga’ dengar ceramah Pemuda BN