Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada Istiadat Konvokesyen ASWARA ke-15 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – “Peringat diri sendiri kenapa kamu kalah, kerana tak persalahkan bos kamu,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Peguam Negara, Tommy Thomas, bertindak menyalahguna undang-undang sedia ada.

Menurut Perdana Menteri, Ahmad Zahid juga tidak pernah menyalahkan langsung ‘bosnya’ yang didakwanya mencuri wang.

“Masa dulu waktu bos dia curi duit langsung tak persalahkan. Sekarang baru teringat hendak persalahkan.

“Peringat diri sendiri kenapa kamu kalah? Kerana tak persalahkan bos kamu,” kata Dr Mahathir sebelum berlalu meninggalkan majlis  di Istiadat Konvokesyen ASWARA ke-15 di Panggung Eksperimen ASWARA di sini.

Semasa berkempen di Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, Ahmad Zahid mempersoalkan tindakan Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017 lalu.

Selain itu, beliau turut mengaitkan pembebasan beberapa suspek dalam kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ahmad Zahid mendakwa undang-undang yang ada kini seolah-olah hanya bertindak untuk mempertahankan PH sahaja.

Menurutnya, undang-undang seolah-olah dibuat untuk pertahankan kerajaan PH sahaja.

“Undang-undang berat sebelah, undang-undang yang hanya digunakan untuk kenakan yang atas sahaja, yang dianggap musuh politik seperti saya,” tambah Ahmad Zahid yang menyifatkan salah guna undang-undang oleh PH telah merendahkan kemampuan polis.

Ia susulan keputusan mahkamah menggugurkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas, LTTE ke Gunasekaran. – MalaysiaGazette