Zuraida Kamaruddin. foto SYAFIQ AMBAK, 08 NOVEMBER 2019

PUTRAJAYA – Saman yang dikemukakan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali oleh sebuah agensi pelancongan tidak memalukan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berpendapat, ramai orang yang tidak membayar bil masing-masing.

Bagi kes melibatkan Azmin, Naib Presiden PKR itu telah berjanji untuk melunaskan tunggakan bil pelancongannya sekiranya ada, kata Zuraida.

“Saya tidak rasa begitu. Ada ramai orang yang tidak menjelaskan bil masing-masing dan dalam kes Azmin, beliau kata akan bayar.

“Bukannya beliau menafikannya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Perumahan Mampu Milik Swasta di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai khabar angin yang mengaitkan saman tersebut dengan skandal Azmin di Sandakan beberapa bulan lalu, Zuraida berpendapat ianya tidak mempunyai kaitan.

Beliau percaya ianya adalah satu pertikaian perniagaan sahaja.

“Saya difahamkan anak pemilik agensi pelancongan tersebut adalah salah seorang yang ditahan polis berikutan kes penyebaran video Azmin.

“Saya rasa itu hanyalah kebetulan. Tiada kaitan (dengan video berkenaan) kerana saya dimaklumkan agensi pelancongan tersebut telah memberikan perkhidmatan kepada Azmin sejak lebih 20 tahun lalu.

“Saya rasa ini hanyalah urusan perniagaan. Mereka sedang menyemak bil-bil berkenaan, mungkin Azmin terlepas pandang.

“Dia akan bayar, jadi tiada isu,” katanya lagi.

Beberapa hari lalu, Sarawak Report melaporkan sebuah agensi pelancongan mengemukakan writ saman kepada Azmin kerana gagal menjelaskan tunggakan bil pelancongan berjumlah RM300,000. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Setelah berbagai usaha untuk menjatuhkan Azmin tapi gagal maka diusahankan cara isu baru, demi untuk menyekat nya dan memburuk-burukkan dengan matlamat agar tidak terus kekal dalam kabinet kerajaan yang ada sekarang, bertenang Azmin , hadapi dengan tenang dan Allah akan bersama-bersama dengan orang yang dianaya dan di fitah.

Comments are closed.