Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berucap pada Program Ceramah Harapan Tanjung Piai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pusat Perdagangan Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 09 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Kerajaan mungkin mempertimbang untuk mewujudkan pakej rangsangan ekonomi sekiranya keadaan ekonomi global menjadi lebih lembap pada tahun depan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, perkara itu pernah dibincangkan pada mesyuarat Kabinet sebelum dan selepas pembentangan Belanjawan 2020.

“Sebenarnya saya pernah sebut bahawa kita akan berikan ruang sekiranya keadaan ekonomi dunia menjadi lebih lembap.

“Kita akan pastikan ruang untuk rancakkan ekonomi sepertimana disebut oleh (Menteri Dalam Negeri) Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu satu pakej rangsangan ekonomi.

“Ini memang sudah dibincangkan dan apa yang beliau (Muhyiddin) sebutkan memang tepat. (Perkara) ini akan kita bincangkan bersama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sebelum sesi Bicara Kopitiam berdekatan Terminal Feri Antarabangsa Kukup, dekat sini, petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin pada dua hari lepas agar kerajaan mewujudkan satu pakej rangsangan ekonomi pada tahun hadapan bagi merancakkan kegiatan ekonomi setempat, susulan keadaan ekonomi global yang lembap ketika ini.

Mengulas selanjutnya, Lim berkata bagi Belanjawan 2020, kerajaan sudah pun mengumumkan pakej rangsangan mini menerusi e-dompet iaitu rakyat yang menjadi ahli insentif itu diberi RM30 (sekali bayar secara digital) untuk membeli-belah dalam usaha mengalakkan masyarakat tanpa wang tunai.

“Ini dianggarkan kira-kira RM500 juta dan ini pun satu pakej rangsangan. Jadi bila kita bincang dengan pihak swasta yang mungkin akan mengusahakan program ini (e-dompet), mungkin ada berita baik lagi. Jadi ini untuk dua bulan pertama dan mungkin ada lebih yang saya sebutkan RM500 juta untuk dibelanjakan rakyat.

“Sekiranya keadaan menjadi lebih lembap di peringkat dunia, maka kita ada ruang dan sudah buat persediaan,” kata beliau, ketika ditanya mengenai saiz pakej rangsangan ekonomi yang boleh dipertimbangkan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.