Tuan Ahmad Amar Tuan Azlan

KANGAR – Pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Tuan Ahmad Amar Tuan Azlan, 23, yang dilaporkan hilang sejak Khamis lepas, ditemui di Masjid Al-Mustaqim di sini, kira-kira 7 pagi tadi.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata, pelajar tahun keempat Fakulti Teknologi Kejuruteraan itu dijumpai dalam keadaan keletihan.

“Tuan Ahmad Amar ditemui selepas beliau membuat panggilan kepada ibunya pagi tadi menggunakan telefon awam melaporkan keberadaan beliau,” katanya ketika dihubungi, tanpa mahu mendedahkan tindakan pelajar terbabit berbuat demikian.

Mohd Foad berkata, Tuan Ahmad Amar akan dibawa pulang oleh keluarganya ke rumah mereka di Gerik, Perak, hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang pelajar UniMAP tidak pulang ke kolej kediamannya di Kampus Unicity Alam, Sungai Chuchuh di Padang Besar dekat sini.

Beliau dipercayai hilang selepas tidak pulang ke kolej kediaman sehingga pukul 8 malam Khamis lepas oleh rakannya.

Difahamkan, Tuan Ahmad Amar keluar tanpa membawa barangan peribadi seperti dompet dan telefon bimbit sehingga menyukarkan beliau dikesan pihak universiti dan rakan kolej kediamannya, sekali gus satu laporan polis telah dibuat oleh pihak UniMAP. – MalaysiaGazette

Pelajar UniMAP hilang, giat dikesan – Polis