Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (dua kanan) bertanyakan sesuatu dengan penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M kepada Ketua Jabatan Syariah Kelantan, Datuk Seri Daud Muhammad (kiri) pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M, Datuk Seri Daud Muhammad berharap undang-undang Islam dapat dilaksanakan di negara ini walaupun Malaysia merupakan negara berbilang kaum.

Bagaimanapun Ketua Hakim Syarie Kelantan itu berkata, masyarakat bukan Islam di negara ini tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan undang-undang syariah kerana ia tidak tertakluk kepada mereka.

“Undang-undang Islam tertakluk kepada penganut agamanya sahaja, jadi sebagai negara Islam yang menghidupkan suasana rahmah, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis sambutan Maulidur Rasul 1441 Hijrah/2019 Peringkat Kebangsaan di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof.

Daud turut berharap kerajaan dapat melaksanakan Undang-undang Jenayah Syariah berkenaan kerana ia penting untuk pembentukan akhlak ummah.

“Khidmat saya dalam Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil Peringkat Persekutuan sudah lama iaitu dari 2008.

“Banyak isu dibincangkan termasuk Akta Guaman Syarie yang sekarang kita sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan dari kerajaan untuk melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syariah di negara ini.

“Jadi, saya berharap perkara itu dapat direalisasikan,” katanya.

Sementara itu, pemilihan Daud membolehkan beliau menerima wang tunai RM50,000, trofi dan sijil penghargaan.

Empat lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini, masing-masing menerima wang tunai RM20,000, trofi serta sijil penghargaan.

Mereka ialah ahli akademik, Prof Datuk Dr Asma Ismail; aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye; pelopor Hospital Mesra Ibadah (HMI), Datuk Dr Khalid Ibrahim dan aktivis kemanusiaan, Mohd Azmi Abdul Hamid. – MalaysiaGazette