Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim meminta Menteri Besar Johor menangguhkan pemberian bantuan bernilai RM1,000 kepada nelayan di Tanjung Piai sehingga pilihan raya kecil (PKR) selesai.

Selain bantuan nelayan, beliau juga mahu kerajaan menghentikan serta-merta budaya bantuan segera yang dilihat banyak berlaku sepanjang kempen PRK di Tanjung Piai.

Menurutnya, adalah lebih baik sekiranya proses pemberian bantuan itu dibuat sehingga selesai tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ini kerana, kerajaan negeri Johor perlu hormati undang-undang pilihan raya.

“Bantuan bagi nelayan-nelayan Tanjung Piai lebih elok diberikan selepas selesai PRK, tidak kisah sama ada PH menang atau kalah,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, bantuan kepada nelayan di daerah lain, boleh disalurkan terlebih dahulu.

Menurut beliau, dulu Pakatan Harapan (PH) berjuang menganjurkan siri demonstrasi jalan raya Bersih 1, Bersih 2 Bersih 3, Bersih 4 dan Bersih 5 untuk tuntut pilihan raya yang adil, tetapi kini pula apabila menjadi kerajaan PH mengulangi perkara seperti ini.

Hassan berkata, sekiranya kerajaan mahu terus berjuang menangani rasuah di negara ini, ia seharusnya bermula dengan pembasmian rasuah politik terlebih dahulu

“Ingin saya nyatakan di sini adalah satu bentuk rasuah politik dan salah di bawah undang-undang kecil Akta Pilihan Raya jika kerajaan sama ada Menteri Besar, atau Menteri Pusat atau Exco memberi wang ringgit atau kebendaan masa berkempen,” tambahnya.

“Sebagai ahli Parlimen PH saya memohon kerajaan tidak mengulangi segala perbuatan yang dibuat menteri-menteri BN satu ketika dahulu,” tegas beliau lagi. – MalaysiaGazette