Datuk Salahuddin Ayub. foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2019.

PEKAN NANAS – Datuk Salahuddin Ayub yakin calon Pakatan Harapan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Karmaine Sardini akan menerima undi dan sokongan daripada pejuang ‘tulen’ Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai 16 November ini.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu berkata, pejuang tulen Pas merupakan golongan berideologi sangat rasional, bersifat menolak kerajaan zalim, menegakkan keadilan dan kebenaran.

“Saya yakin pejuang Pas yang tulen akan bersama kita sokong PH, Insya-Allah kerana mereka golongan beriman dan berideologi yang sangat rasional serta berjuang ketika susah dulu dengan menentang kerajaan zalim,” katanya pada ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) PH Kampung Sawah Batu 4, malam tadi.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan merangkap Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai juga berkongsi sumbangan Allahyarham Dr. Md Farid Md Farik di Tanjung Piai sepanjang 18 bulan sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Katanya, banyak rancangan yang dirangka untuk rakyat Tanjung Piai haruslah diteruskan oleh wakil rakyat yang merupakan seorang imam beramanah seperti Karmaine.

“Arwah berjaya mendapatkan dana pembangunan dan penambahbaikan tiga jeti nelayan yang benar-benar teruk dan daif juga segala penambahbaikan lain siang malam mahupun pada saat akhir sebelum meninggal dunia awal pagi.

“Tapi Wee Jeck Seng calon BN yang pernah dua penggal berkhidmat di kawasan ini apa dia buat untuk nelayan, kenapa jeti usang dibiarkan begitu dalam keadaan berisiko.

“Kami yang meneruskan masalah itu dan mengambil langkah menyelesaikannya.

“Maka berfikirlah secara bijak dan membuat keputusan terbaik dan memberi undi kepada calon PH supaya legasi dan segala pelan yang ditinggalkan arwah dapat diteruskan dengan mudah seperti yang diinginkan Farid oleh Karmaine nanti, insyallah,” tegasnya.-MalaysiaGazette