Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Wee Jeck Seng semasa mengadakan sesi walkabout bagi membantu calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Wee Jeck Seng sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pasaraya Econsave Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 09 NOVEMBER 2019

PEKAN NANAS – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau menerima makluman penamatan khidmat polis pengiring trafik secara mengejut.

Malah, tidak ada sebarang alasan oleh yang berkenaan terhadap penarikan tersebut, katanya yang juga ahli Parlimen Pekan.

“Saya tak tahu, secara mengejut surat tiba dan dia tak beri apa-apa alasan.

“Ramai orang anggap ini ada tujuan-tujuan tertentu, tapi saya akan teruskan usaha saya untuk memenangkan BN (Barisan Nasional),” katanya ketika ditemui ketika melakukan walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, di sini hari ini.

Najib berkata, meskipun kemudahan itu ditarik balik oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) namun beliau tidak menjadikannya sebagai halangan untuk beliau berkempen pada PRK Tanjung Piai.

Terdahulu, Pegawai Khas Najib, Mohd Shahrir Mohd Aripin memuat naik di Facebook sekeping surat dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bukit Aman yang memaklumkan bahawa pengiring trafik bermotosikal yang diberikan kepada bekas perdana menteri keenam itu dibatalkan.

Menurut Shahrir, khidmat itu telah dihentikan sejak 5 November lepas dan Najib tidak lagi mendapat keistimewaan tersebut seperti sebelum ini. –  MalaysiaGazette