Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini berucap pada Program Sembang Santai Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Kampung Bakar Arang, Pekan Nenas, Johor. foto AFFAN FAUZI, 10 NOVEMBER 2019

PEKAN NANAS – Memasuki gelombang kedua kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Piai yang berbaki lima hari, calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini sedih dengan serangan pembangkang yang mempersoalkan status ‘haji’ beliau.

Lebih menyedihkan katanya, beliau telah dilarang memberi khutbah di masjid sebagai imam sehingga selesai kempen dan hari mengundi 16 November ini.

Beliau mendakwa, pembangkang sekarang mula menyemak sama ada beliau seorang haji sehingga menyiasat di Tabung Haji.

“Saya ingin betulkan bahawa saya memang menunaikan haji tanpa berdaftar akaun dengan Tabung Haji dan saya sehingga kini tidak memiliki akaun di Tabung Haji, sebaliknya saya pergi haji sendiri menggunakan Visa Ziarah.

“Selain itu kelulusan sijil akademik juga dipersoalkan sehingga profesor saya mengesahkan saya ditawarkan biasiswa dan diberikan kerja arkitek.

“Jumaat yang pelik berlaku apabila penggerak Masjid tak membenarkan saya menjadi imam Masjid.Walaupun surat rasmi dari jabatan agama belum keluar, tapi penggerak masjid jumpa imam sebelum datang kepada saya memaklumkan “minta maaf haji tidak boleh baca khutbah sepanjang kempen sehingga PRK selesai.

“Saya ada tauliah yang diberikan oleh Jabatan Agama Islam tapi saya dilarang berkhutbah di masjid sendiri, tak tahu kenapa jadi macam itu, semua rakan Islam doakan. Ini bukan ceramah politik pun dalam masjid hanya mahu berikan Khutbah tapi ramai takut saya cuba gunakan untuk kepentingan politik,” katanya dengan nada rendah diri kepada pengundi Jalan Bakar Arang Kampung Sawah.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar.

Menurut Karmaine, beliau wajar diberi tempat untuk merancakkan lagi pembangunan kawasan Parlimen itu.

“Jumaat depan saya akan balik ke ke Johor Bahru saya akan naik mimbar, ada kuasa saya sebagai pengerusi Masjid..biarlah masa hendak naik itu ditarik orang turun itu, saya bersedia.

“Ini satu cabaran untuk saya kerana itu hak saya. – MalaysiaGazette