Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Global No Smoking and Dengue Campaign di Red Q, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2),Sepang. foto IQBAL BASRI, 11 NOVEMBER 2019

SEPANG- Kira-kira 23 peratus atau lima juta orang rakyat Malaysia yang berusia 15 tahun dan ke atas adalah perokok.

Kumpulan perokok ini memuncak dalam kalangan umur 20 hingga 50 tahun di mana mereka ini merupakan golongan pekerja dan berproduktiviti tinggi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Tambah beliau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan sebanyak 20,000 kematian telah berlaku dalam kalangan lelaki dewasa di Malaysia akibat merokok.

Habit buruk itu juga menyebabkan komplikasi penyakit Tidak Berjangkit (NCD) seperti serangan jantung, penyakit kronik paru-paru, kanser dan banyak lagi.

“Situasi merokok masa kini menjadi semakin mencabar.

“Pengunaan rokok elektronik semakin berleluasa dan telah memberikan pandangan berbeza dalam kalangan masyarakat dan pengguna.

“Penggunaan rokok elektronik juga mempunyai kesan sampingan tersendiri, oleh itu, kempen-kempen larangan merokok di tempat kerja dapat membantu pihak Kementerian Kesihatan untuk membendung sebarang amalan merokok,” katanya semasa menyampaikan ucapan pelancaran Kempen Larangan Merokok AirAsia dan penyerahan Anugerah Blue Ribbon kepada syarikat penerbangan tersebut di sini hari ini.

Dalam perkembangan berbeza, Dr. Dzulkefly meminta semua pihak supaya memberi sedikit masa kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menyelesaikan isu kekurangan pekerja dan bebanan kerja berlebihan yang ditanggung oleh kakitangan kesihatan di sektor awam.

Jumaat lalu, Dr. Dzulkefly mengumumkan Kementerian Kesihatan sudah tidak lagi mampu menyerap semua siswazah pegawai perubatan (MO) termasuk yang ditaja kerajaan.

Ini kerana pelantikan ke jawatan tetap adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan tersedia di fasiliti-fasiliti kesihatan.

Menyentuh mengenai lanjutan konsesi selama 25 bulan kepada Pharmaniaga sementara Kementerian Kesihatan mendapatkan mekanisme terbaik untuk tender terbuka, Dr. Dzulkefly berkata, tiada pampasan yang perlu dibayar kepada syarikat tersebut sekiranya kontrak lanjutan itu ditamatkan lebih awal,

“Kontrak sebenar mereka sudah tamat, tempoh lanjutan tersebut adalah untuk memastikan bekalan ubat-ubatan tidak terjejas,” katanya semasa sidang media selepas majlis berkenaan. – MalaysiaGazette