Pelakon utama filem MAHATHIR the journey, Azhar Amir dan Fauziah Latiff di Hotel Sheraton Petaling Jaya, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Filem Mahathir The Journey arahan Prof Dr Hatta Azad Khan bakal mengangkat kisah perjuangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun memegang jawatan itu pada kali pertama.

Diterbitkan oleh Reliance Media Group Sdn. Bhd., filem tersebut turut menampilkan kisah benar perjuangan tokoh disegani itu yang dilantik semula sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 2018 selepas 16 tahun bersara.

Hatta berkata, pihaknya melakukan kajian selama tujuh bulan untuk merealisasikan kisah perjuangan seorang figura yang hebat dan dikagumi di dunia itu.

“Filem ini mengambil inspirasi kisah benar malah babak bakal dipaparkan adalah kejadian yang berlaku selepas Tun meletakkan jawatan pada 2003.

“Sebahagian babaknya pula kejadian sebenar yang tidak pernah diketahui masyarakat seperti dilantik semula sebagai perdana menteri.

“Skrip filem ini mendapat kelulusan 100 peratus daripada Pejabat Perdana Menteri. Malah, pegawai khas Tun, Sufi Yusof telah meneliti dialog dan babak ke babak untuk memastikan tiada kesilapan fakta,” katanya.

Pengarah Filem Negara, Datuk Yusof Haslam (lima kiri) diiringi Pengarah Filem MAHATHIR the journey, Prof. Dr. Mohamad Hatta Azad Khan (dua kiri) bergambar kenangan bersama pelakon-pelakon Filem MAHATHIR the journey pada sidang media dan memperkenalkan pelakon-pelakon Filem MAHATHIR the journey di Hotel Sheraton Petaling Jaya, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 NOVEMBER 2019

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Mahathir, The Journey di Sheraton Hotel di sini hari ini.

Turut diumumkan watak utama Dr Mahathir dipegang oleh Azhar Amir dan Fauziah Latif sebagai Tun Siti Hasmah Mohamad.

Filem itu turut menampilkan 29 watak penting, termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dipegang oleh Afiew Hussain, Datin Paduka Marina Mahathir (Ning Baizura), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Dian P Ramlee), Datuk Seri Anwar Ibrahim (Hilal Azman), Nurul Izzah Anwar (Lisdawati) dan Gobind Singh Deo (Muhammad Harminder Singh).

Hatta berkata, filem terbabit yang menelan belanja RM6 juta akan memulakan penggambaran pada pertengahan Disember depan.

“Filem ini akan menjalani penggambaran di sekitar Putrajaya, Kedah dan Kelantan, malah pasukan produksi akan turut terbang ke Hiroshima, Jepun.

“Beberapa watak utama akan dibawa ke sana bagi merealisasikan insiden yang berlaku di sana,” ujarnya.

Kata Hatta, filem Mahathir, The Journey bukan hanya ditayangkan di negara ini, malah ia dijangka menembusi pasaran antarabangsa.

“Ia dijadualkan menemui penonton pada Julai tahun depan, sempena bulan kelahiran Tun,” katanya. – MalaysiaGazette

Pengarah Filem MAHATHIR the journey, Prof. Dr. Mohamad Hatta Azad Khan pada sidang media dan memperkenalkan pelakon-pelakon Filem MAHATHIR the journey di Hotel Sheraton Petaling Jaya, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 NOVEMBER 2019