Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Pengarah Jentera Pakatan Harapan Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal bercakap pada sidang media selepas Majlis Sembang Santai bagi membantu calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Pejabat Cabang PKR Tanjung Piai, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 11 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak andaian bahawa kehadiran masyarakat Tanjung Piai ke ceramah pembangkang petanda ceramah dan kempen Pakatan Harapan kurang mendapat sambutan.

Kata beliau, sesuatu ceramah itu itu tidak boleh diukur dari segi kehadiran yang ramai sebaliknya isi kandungan yang boleh menarik sokongan orang ramai perlu diutamakan.

Ditanya kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai kali ini menyaksikan ceramah PH tidak ramai kehadiran, katanya, itu suasana biasa sebagaimana semasa beliau dalam pembangkang lebih ramai hadir mendengar ceramah Anwar sebagai Ketua Pembangkang dan penggerak PH.

“Tetapi keadaan sekarang tidak sama dan telah berubah. Isunya mungkin sama mengajak orang lain mendengar ceramah tidak ada masalah,  tetapi isu substantik tidak berubah sebab peringkat awal mereka nak dengar sebelah sana dan saya ucapkan terima kasih sebab kehadiran bertambah.

“Saya percaya lebih ramai hadir malam ini, dan bukan pertandingan ceramah (mana paling ramai) tapi pertandingan isi dan raih sokongan,” katanya dalam sidang media selepas High Tea dan sembang santai di Cabang PKR Tanjung Piai hari ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sembang Santai bagi membantu calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Pejabat Cabang PKR Tanjung Piai, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 11 NOVEMBER 2019.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharu peluang untuk PH di Tanjung Piai, kata Ahli Port Dickson itu lagi, laporan yang diterima daripada jentera PH mendapati ramai berpuas hati dan terdapat perubahan ketara di kawasan pengundi Cina dalam beberapa hari lalu.

Menurutnya, ia memberi PH alasan lebih meyakinkan kemenangan Karmaine di Tanjung Piai.

Anwar berkata, dalam sesi taklimat mengenai proses pengundian di Tanjung Piai, barisan kepemimpinan mberkongsi keluhan rakyat tentang beberapa isu.

“Maka saya merasakan meraka tidak perlu mengundi pembangkang sebab kita kerajaan PH mendengar keluhan petani, nelayan, pekebun kecil, pengangguran pelajar, kemudahan kesihatan, pendidikan dan sebagainya.

“Saya datang untuk meningkatkan sokongan itu dan memastikan jentera PKR juga sentiasa bersama calon kerana perlu difahamkan kita baru ambil kuasa dan tidak semestinya harus dokong pembangkang,” ujarnya.

Ditanya PH tidak begitu serius mengutamakan satu peratus pengundi India, beliau menafikan andaian itu.

“Itu tidak benar kononnya kita tak beri tumpuan, kita dapat taklimat dan beberapa pemimpin India berkampung di situ tentunya ada dari DAP dan jentera PPBM dan PAN serta PKR dekati mereka sambil mendengar dan menyelesaikan masalah mereka,” tegas beliau lagi.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.